AEON Bank, bank digital Islam pertama di Malaysia, telah meningkatkan ciri keselamatannya dengan memperkenalkan Mobile Security Platform (MSP), satu
bentuk teknologi perlindungan terkini untuk aplikasi mudah alihnya.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen AEON Bank ke arah meningkatkan keselamatan aplikasi perbankan digital demi melindungi data pelanggan. MSP AEON Bank berfungsi dengan memantau potensi ancaman dan perisian hasad, serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan integriti aplikasi perbankan digitalnya.
Jika sesebuah peranti dikesan telah terjejas — sama ada akibat dipecah sekat, pengakaran peranti, pengubahsuaian komponen perisian, manipulasi semasa operasi, atau sebarang pengubahsuaian aplikasi daripada tetapan asal kilang yang memintas sekatan keselamatan — pengguna akan terus dimaklumkan dan akses kepada aplikasi AEON Bank akan dinyahaktifkan buat sementara waktu.
Langkah keselamatan ini dilaksanakan bagi mencegah kecurian data, pelanggaran keselamatan, serta risiko akses tanpa kebenaran.
“Perlindungan data pelanggan adalah keutamaan utama AEON Bank sebagai sebuah bank digital sepenuhnya. Teknologi perlindungan Mobile Security Platform (MSP) memainkan peranan penting dalam memberikan pengalaman perbankan digital yang selamat dan dipercayai.
“Kemustahakan utama kami ialah untuk memastikan bahawa para pelanggan dapat terus menggunakan aplikasi AEON Bank dengan selamat dan dengan penuh yakin,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank (M) Berhad, YM Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz.
Melalui fungsian tersebut, AEON Bank tidak mengumpul, memproses atau menyimpan sebarang maklumat peribadi daripada peranti pelanggan. Sebaliknya, pendekatan berlapis ini membolehkan perlindungan berikut:
● Pengesanan Ancaman dan Pemberitahuan: Jika sesuatu peranti dikesan telah dipecah
sekat atau rooting, pelanggan akan menerima amaran keselamatan dalam aplikasi dan akses ke aplikasi AEON Bank akan dinyahaktifkan buat sementara waktu bagi mengelakkan
kemungkinan pelanggaran keselamatan.
● Panduan Penyelesaian: Pelanggan boleh mendapatkan semula akses dengan menghapuskan ancaman keselamatan yang dikesan atau melaraskan tetapan peranti
mereka. Untuk keselamatan yang lebih baik, disyorkan agar peranti dikembalikan kepada
tetapan asal kilang. Pelanggan dinasihatkan untuk membuat salinan data telefon sebelum
berbuat demikian.
● Akses Semula yang Selamat: Setelah isu diselesaikan, pelanggan boleh melancarkan
semula atau memuat turun semula aplikasi AEON Bank untuk menggunakan kembali
perkhidmatan perbankan digital dengan selamat.