Zurich Malaysia mengumumkan pembukaan cawangan barunya di Mid Valley Southkey (MVS) South Tower, Johor Bahru bertujuan untuk mengembangkan sayap perkhidmatannya di wilayah selatan.
Terletak di lokasi strategik dalam kawasan pembangunan ikonik Mid Valley Southkey, cawangan itu menyediakan pengalaman perkhidmatan yang lancar dan inovatif dengan menawarkan produk konvensional dan takaful di bawah satu bumbung.
Cawangan utama ini merangkumi ruang pejabat dua (2) tingkat berkeluasan kira-kira 15,000 kaki persegi, ia mencerminkan komitmen Zurich Malaysia untuk menyediakan persekitaran moden yang mengutamakan pelanggan.
Tingkat bawah menempatkan ruang operasi perbankan, manakala tingkat 19 menampilkan ruang pejabat yang direka bentuk untuk tujuan menjalinkan kerjasama, produktiviti dan inovasi.
Lokasinya yang strategik berhampiran laluan utama seperti Eastern Dispersal Link (EDL) dan Pusat Pemeriksaan Woodlands menjadikannya mudah diakses oleh pelanggan dan rakan kongsi perniagaan.
Cawangan baru itu turut menawarkan pelbagai kemudahan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan warga kerja Zurich Malaysia. Antara kemudahan yang disediakan untuk pelanggan termasuk ruang santai dan Wi-Fi percuma di kedua-dua tingkat cawangan itu.
Bagi memenuhi keperluan latihan untuk rangkaian agensi Zurich, tiga bilik Pusat Pengurusan & Pembangunan Bakat (TMDC) disediakan dan dilengkapi dengan teknologi terkini dan internet berkelajuan tinggi.
Selain itu, kemudahan surau turut disediakan untuk pengunjung di tingkat 6 menara selatan. Cawangan baru itu akan menempatkan lebih 40 warga kerja Zurich Malaysia yang komited untuk menyediakan perkhidmatan cekap dan mengutamakan pelanggan kepada ejen insurans hayat dan takaful keluarga Zurich Malaysia, serta ejen insurans dan takaful am.
Ini penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lancar untuk seluruh segmen konvensional dan takaful Zurich Malaysia.






































