Perodua Sales Sdn Bhd (Perodua Sales) baru-baru ini telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama PETRONAS Dagangan Berhad (PETRONAS Dagangan) dan anak syarikat Gentari Sdn Bhd (Gentari) bagi meningkatkan pengalaman pelanggan melalui integrasi pelbagai perkhidmatan.

MoU pertama yang ditandatangani adalah antara Perodua Sales dan PETRONAS Lubricants Marketing Sdn Bhd (PLMMSB), Mesra Retail & Cafe Sdn Bhd (MESRA), dan Setel Ventures Sdn Bhd (Setel), yang mana Perodua akan menyediakan akses perkhidmatan baharu di pusat servis buat para pelanggannya.

Ini termasuk integrasi ciri pembayaran digital Setel ke dalam aplikasi UFirst Perodua, penubuhan MESRA untuk kemudahan tambahan, serta pembukaan pusat servis Perodua di stesen-stesen PETRONAS terpilih.

“Perodua Sales dan PLMMSB telah bekerjasama lebih 20 tahun, dan kerjasama ini terbukti memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Kami akan terus mengembangkan kerjasama ini untuk memberi manfaat kepada pelanggan-pelanggan setia kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

PLMMSB merupakan pembekal eksklusif minyak pelincir kenderaan kepada Perodua Sales sejak tahun 2004. Selari dengan peralihan negara ke arah mobiliti hijau, Perodua Sales dan PLMMSB akan bekerjasama untuk mengukuhkan komitmen terhadap amalan kelestarian.

Beliau menambah kerjasama dengan Gentari pula akan membolehkan syarikat itu menyediakan kemudahan pengecasan di pusat-pusat servis Perodua sebagai persediaan
kepada pengenalan kenderaan elektrik (EV) Perodua akan datang dan menyokong
pelanggannya dalam peralihan kepada EV.

“Secara keseluruhan, MoU ini akan melancarkan lagi kerjasama antara kedua-dua syarikat nasional untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan kami,” kata Dato’ Sri Zainal Abidin.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan, Azrul Osman Rani
berkata, “Selama lebih dua dekad, PETRONAS dan Perodua telah menjalinkan kerjasama
erat yang membawa kualiti dan kebolehpercayaan kepada jutaan pemandu di seluruh
negara.

“Kerjasama yang diperluaskan ini akan memperkukuhkan lagi komitmen bersama kami untuk meningkatkan pengalaman pelanggan di setiap peringkat, daripada pelincir berkualiti tinggi kepada kemudahan digital dan keperluan harian.”

Sementara itu, MoU kedua yang ditandatangani antara Perodua Sales dan Gentari melalui Gentari Green Mobility Sdn Bhd akan menyaksikan pemasangan kemudahan pengecasan di pusat-pusat servis Perodua sebagai persediaan kepada pengenalan kenderaan elektriknya (EV) seterusnya memudahkan para pelanggan mereka di dalam proses peralihan kepada EV.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli berkata, “Kami menyambut baik visi Perodua untuk memperkenalkan EV mampu milik menjelang 2025.

“Gentari begitu teruja untuk bekerjasama dengan Perodua dalam usaha kami untuk memacu penggunaan mobiliti hijau di Malaysia. Dengan meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan pengecasan, Gentari mensasarkan untuk meningkatkan pengalaman pemandu EV Perodua masa hadapan, seterusnya meningkatkan kepuasan pelanggan dan membina kesetiaan mereka.

“Inisiatif utama dalam kerjasama ini termasuklah pemasangan kemudahan pengecasan EV di pusat servis Perodua, terutamanya di stesen-stesen PETRONAS, menawarkan langganan
pengecasan EV, penyelesaian pengecasan di rumah serta integrasi lancar dengan
platform Gentari Go,” katanya.

PETRONAS mempunyai lebih daripada 1,000 stesen di seluruh negara, manakala Perodua mempunyai 194 pusat jualan dan 209 pusat servis di seluruh Malaysia. Dengan lebih daripada 175 titik pengecasan DC, Gentari kini mengendalikan rangkaian pengecasan arus terus (DC) berlesen terbesar di Malaysia.

Perodua Sales Sdn Bhd adalah anak syarikat milik penuh Perodua yang mana berperanan di dalam menawarkan perkhidmatan yang merangkumi jualan, selepas jualan (servis, alat ganti, aksesori, Badan dan Cat), serta aktiviti pemasaran produk.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini