Worldwide Stainless Sdn. Bhd. telah mencapai persetujuan untuk mengambil alih Bahru Stainless Sdn. Bhd. daripada peneraju keluli tahan
karat berpangkalan di Sepanyol, Acerinox S.A., dengan pertimbangan tunai keseluruhan AS$95 juta.
Pengambilalihan ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri keluli tahan karat global, dengan urus niaga dijangka selesai menjelang akhir November 2024.
Bahru Stainless Sdn. Bhd. pengeluar tunggal keluli tahan karat canai sejuk di Malaysia, telah menghentikan operasinya pada Mei 2024. Namun, Worldwide Stainless telah melihat kepentingan strategik, sebelum merebut peluang untuk menghidupkan semula aset utama itu.
selepas melihat kepentingan strategik bagi menghidupkan semula aset utama ini. Di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Danny Tan Wei Beoh, syarikat ini merancang untuk memulakan semula operasi dan mengambil semula hampir 90% daripada tenaga kerja Bahru Stainless yang diberhentikan, bagi mengembalikan kepakaran yang telah membina reputasi kukuh kilang tersebut.

Selepas pengambilalihan ini, Bahru Stainless Sdn. Bhd. akan terus beroperasi di bawah nama yang sama.
Mengulas mengenai kepentingan pengambilalihan itu, Danny Tan berkata: “Langkah ini merupakan komitmen kami terhadap masa depan industri keluli tahan karat Malaysia.
“Kami bertekad untuk menghidupkan semula Bahru Stainless, memanfaatkan potensi yang belum diterokai, dan mengembalikan Malaysia sebagai pemain utama dalam bekalan keluli tahan karat canai sejuk di peringkat global.
“Rancangan kami untuk mengambil semula hampir 90% daripada pekerja terdahulu, mencerminkan keyakinan kami terhadap kepakaran tenaga
kerja serta kejayaan operasi ini pada masa hadapan.”
Membentuk Masa Depan Keluli Tahan Karat di Malaysia
Worldwide Stainless ditubuhkan dengan visi strategik oleh sekumpulan pemimpin industri berpengalaman, termasuk Danny Tan, Chung Shan Tat, Datuk Tan Kak Seng, Ta Wee Dher, dan Lee Seng Yong.
Dengan pengalaman dan kepakaran sejak puluhan tahun, mereka telah membentuk pasukan dinamik yang kukuh dan bersedia untuk memacu Bahru Stainless ke era kejayaan baharu.
Disokong AmBank (M) Berhad, yang membiayai 80% daripada perjanjian itu, Worldwide Stainless bersedia untuk memulihkan dan mempercepatkan langkah pengembangan Bahru Stainless ke peringkat global.
Visi syarikat adalah untuk membina semula, membawa inovasi, dan membekalkan keluli tahan karat berkualiti tinggi kepada pasaran tempatan serta antarabangsa.
Bernardo Velázquez, CEO Acerinox S.A., berkata: “Keputusan strategik ini menjaga kepentingan pekerja, pelanggan, dan komuniti setempat. Bahru Stainless telah memainkan peranan penting dalam sejarah Kumpulan kami, dan kami yakin bahawa di bawah pemilikan Worldwide Stainless, ia akan terus berkembang dan menyumbang kepada industri.
“Kami berterima kasih kepada semua yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.”
Danny Tan pula menambah: “Pengambilalihan ini adalah detik penting bagi landskap industri keluli di Malaysia. Fokus kami adalah untuk memulihkan operasi Bahru Stainless dan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri keluli tahan karat global.
Dengan sokongan pemegang saham dan rakan kongsi, kami komited untuk
mencapai visi ini dan mewujudkan nilai yang berkekalan untuk pasaran domestik dan global.”