Kaotim, jenama dan platform digital yang diuruskan oleh Takaful Malaysia (“Kumpulan”), telah melancarkan Kaotim Car dan Kaotim Motor yang menawarkan pelan perlindungan dalam  talian terbaharu dan komprehensif bagi kenderaan persendirian dan motosikal pada harga yang berpatutan untuk pemilik kenderaan di Malaysia.

Dengan pelancaran produk baharu ini, pemilik kenderaan dapat mengakses pelan  perlindungan secara pantas mengikut keperluan, sekaligus memilih faedah tambahan yang sesuai dengan bajet  mereka. 

Hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohammed Hussein;  Pengerusi Takaful Malaysia Am (bahagian Takaful Am Takaful Malaysia), Ismail Mahbob; Lembaga Pengarah  Takaful Malaysia Keluarga dan Takaful Malaysia Am; Badan Penasihat Syariah; Ketua Pegawai Eksekutif  Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal; Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri  Ramli; serta Pengurusan Kanan Takaful Malaysia. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, “Pelancaran Kaotim Car dan  Kaotim Motor adalah sebahagian daripada langkah strategik kami untuk mengukuhkan kedudukan dalam bidang insurans dan takaful motor yang telah menunjukkan pertumbuhan positif.

Strategi ini selaras dengan permintaan  dan peningkatan jualan kenderaan di pasaran. Kami berhasrat untuk memperluaskan langkah dengan menawarkan pelbagai pelan perlindungan dalam talian untuk memenuhi keperluan pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli telah melancarkan pelan perlindungan dalam talian terbaharu, Kaotim Car dan Kaotim Motor

“Sehubungan itu,  kami teruja memperkenalkan Kaotim Car dan Kaotim Motor di bawah jenama Kaotim. Kedua-dua produk baharu  ini menyediakan perlindungan komprehensif mampu milik dan mudah diakses yang membolehkan pelanggan mendapatkan sebut harga dan perlindungan yang sesuai.”  

Kaotim Car merupakan perlindungan komprehensif bagi kenderaan persendirian terhadap pelbagai risiko,  termasuk kerosakan akibat kemalangan, kebakaran, kecurian, liabiliti kepada pihak ketiga, atau kerosakan harta  benda.

Selain itu, pelan ini menawarkan bantuan bahu jalan 24 jam serta perkhidmatan tunda tanpa had akibat  kerosakan secara percuma. Kaotim Car turut menyediakan perlindungan kemalangan peribadi untuk pemandu  dan penumpang. Terdapat sebelas (11) faedah tambahan yang fleksibel, termasuk Motor PA Plus, yang  menawarkan perlindungan tambahan terhadap kematian atau keilatan kekal akibat kemalangan jalan raya,  sekaligus pelanggan dapat membuat pilihan yang bersesuaian dengan keperluan mereka. 

Kaotim Motor pula menawarkan perlindungan motosikal komprehensif terhadap kerosakan akibat kemalangan,  kebakaran, kecurian, serta liabiliti kepada pihak ketiga untuk kematian, kecederaan badan, dan kerugian atau kerosakan harta benda. Perkhidmatan bantuan bahu jalan 24 jam dengan perkhidmatan tunda akibat kerosakan  sekali secara percuma turut disediakan.

Pelanggan boleh menambah baik perlindungan mereka dengan memilih  mana-mana daripada empat (4) faedah tambahan, termasuk Bike PA Plus – iaitu perlindungan kemalangan  peribadi terhadap kematian atau keilatan kekal akibat kemalangan jalan raya. 

Nor Azman Zainal berkata, “Dengan Kaotim Car, pelanggan dapat menikmati pelan ansuran untuk bayaran  sumbangan tanpa faedah, diskaun serta-merta sebanyak sepuluh peratus (10%), serta perlindungan kemalangan  peribadi percuma sebanyak RM15,000 untuk setiap individu yang dilindungi.

Manakala, Kaotim Motor menawarkan diskaun serta-merta sepuluh peratus (10%), perkhidmatan tunda akibat kerosakan sekali secara  percuma, dan perlindungan untuk semua penunggang yang dibenarkan. Kesemua manfaat bagi kedua-dua pelan  baharu ini tertakluk kepada terma dan syarat.” 

“Pelancaran Kaotim Car dan Kaotim Motor ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha kami untuk  memperkenalkan lebih banyak pelan perlindungan dalam talian. Inisiatif ini memanfaatkan platform digital kami untuk menawarkan transaksi dalam talian yang lebih lancar, sesuai dengan gaya hidup terkini.

Ini selaras dengan  peningkatan permintaan pelan perlindungan untuk kenderaan persendirian dan motosikal dalam pasaran insurans  am dan takaful di Malaysia. Sempena ulang tahun ke-40, kami terus kekal kukuh dan berdaya saing dalam industri  ini dengan menawarkan pelan perlindungan dalam talian yang komprehensif dan berpatutan, disamping memastikan keseimbangan portfolio antara perniagaan motor dan bukan motor,” katanya dalam kenyataan di sini.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini