CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) dengan kerjasama Yayasan Belia Malaysia (YBM) mengukuhkan komitmennya dalam memperkasa komuniti asnaf dengan melaksanakan Program Bantuan Bakul Makanan CIMB Islamic.

Inisiatif libat urus komuniti berterusan berkenaan bermatlamat untuk mengurangkan beban kewangan keluarga asnaf menerusi agihan bakul makanan. Sebagai sebahagian daripada usaha ini, CIMB Islamic, melalui Zakat Wakalahnya, mengagihkan barang makanan bernilai RM100,000 kepada 400 keluarga asnaf terpilih di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil.

Hadir di majlis berkenaan, Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bersama Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic dan Dato’ Dr. Suhaimi Ibrahim, Pengerusi YBM, Rozaidi Ismail, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil, Muslim Mustapa, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta sukarelawan daripada CIMB yang telah mengagihkan bakul-bakul makanan yang mengandungi beras, tepung dan minyak masak, termasuk makanan ruji lain kepada penerima manfaat untuk keperluan nutrisi mereka.

Ahmad Shahriman berkata, “Zakat kekal sebagai satu instrumen kewangan sosial asas dalam usaha meluaskan bantuan kami terhadap golongan asnaf dengan fokus untuk menambah baik kualiti hidup mereka dengan mengurangkan bebanan kewangan, membolehkan mereka memperuntukkan pendapatan ke arah keperluan asas dan memperbaiki kehidupan mereka secara menyeluruh.

“Menerusi program ini, matlamat kami adalah bagi memastikan setiap keluarga mempunyai akses makanan berkhasiat di samping meringankan beban mereka sambil memupuk semangat kekitaan dan sokongan terhadap golongan memerlukan.

“Kami komited dalam memainkan peranan sebagai institusi kewangan Islamik bertanggungjawab dalam menyampaikan impak positif dan bermakna kepada komuniti di bawah seliaan kami. Ini dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif yang kami terajui sejak beberapa tahun yang lalu yang merangkumi prinsip perantaraan berasaskan nilai,” katanya.

Dato’ Dr. Suhaimi Ibrahim berkata, pihaknya berbesar hati kerjasama dengan CIMB Islamic diteruskan melalui inisiatif khidmat masyarakat baharu ini yang diyakini boleh membawa kesan positif terhadap kehidupan seharian komuniti asnaf.

Beliau berkata, keluarga asnaf sering berdepan kekangan kewangan dalam mendapatkan keperluan makanan asas. Dengan penyediaan barang makanan keperluan ini, matlamatnya adalah bagi menambah baik kehidupan setiap keluarga secara menyeluruh.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini