Samsung baru-baru ini memperkenalkan putik fon telinga terbaharu menerusi dua varian iaitu Galaxy Buds3 dan Galaxy Buds3 Pro yang kali ini tampil dengan rekaan yang cukup unik, berbeza dengan rekaan terdahulu yang bermula seakan bentuk kekacang.

Terus terang sekali imbas, rekaan bertangkai peranti ini yang dikenali sebagai Blade Design menjadikannya kelihatan lebih moden dan menarik apatah lagi rekaan lutsinar pada penutup bekas pengecas sekali gus nampak lebih menonjol apabila earbuds yang diletakkan pada bahagian dalam.

Paling menarik terdapat lampu blade light di kedua-dua sisi earbuds ini akan menyala apabila dimasukkan ke dalam bekas pengecas. Pengguna juga boleh mengawal lampu ini melalui earbuds light controls dan akan menyala secara automatik apabila bateri bawah 30 peratus.

Rekaan inovatif

Selain itu, setiap earbuds mempunyai kemasan berwarna pada bahagian bawah iaitu biru untuk kiri dan jingga untuk kanan, yang mana kemasan tersebut turut dipadankan pada bekas pengecas.

Walaupun rekaan nampak mirip macam AirPods Pro, tangkainya lebih bersegi dan pilihan warna gelap menampakkan peranti ini yang lebih ranggi dan seksi, sesuai bagi mereka yang mahukan kelainan.

Prebiu.com yang berpeluang menguji peranti ini yang berwarna Silver dengan lebih dekat mendapati, rekaan Galaxy Buds3 Pro adalah menarik dan ergonomik sesuai untuk digunakan dalam jangka masa yang panjang.

Galaxy Buds3 Pro ditawarkan dalam 2 pilihan warna iaitu Silver dan White. Kedua-dua pilihan warna ini hadir dengan kemasan yang berbeza. Untuk Silver ia menggunakan kemasan jenis kesat manakala White menggunakan kemasan jenis licin.

Kelebihan kemasan jenis kesat ia memberikan cengkaman yang lebih baik dan kurang meninggalkan kesan cap jari malah bekas pencegas ini juga kelihatan eksklusif serta premium.

Menerima penarafan IP57, peranti ini kalis air cukup sesuai bagi pengguna yang sering aktif bersukan sama ada sukan di dalam mahupun di luar bangunan.

Tahap kalis percikan air dan debu juga telah ditambah baik pada IP57 berbanding IPX7 dan ia menggunakan sambungan Bluetooth 5.4.

Kualiti Bunyi

Kualiti bunyi pada Galaxy Buds3 Pro antara yang terbaik dalam kelasnya. Peranti ini bukan sahaja ringan iaitu seberat 5.4 gram (fon telinga) manakala 46.5 gram bersama bekas pengecas.

Apa yang menarik, Samsung telah menambahbaik kualiti bunyi dengan sistem 2-way speakers berbanding 1-way speakers (fon telinga terdahulu) yang memberikan bunyi lebih jelas dan terperinci.

Selain itu, peranti ini dipadankan dengan 10.5mm dynamic driver dan tweeter planar bersaiz 6.1mm selain menyokong Dual Amplifier untuk memberikan hasil audio yang lebih baik seakan anda sedang berada di studio rakaman.

Kualiti bunyi yang dihasilkan sememangnya baik, seimbang dan terperinci. Setiap instrumen yang dimainkan dapat didengar dengan jelas dan terperinci serta frekuensi bass dapat dikawal dengan baik

Selain itu, peranti ini turut menyokong pelbagai tetapan Equaliser seperti smooth, clear, bass boost, dynamic, treble boost, balanced dan custom. Untuk custom, pengguna boleh menetapkan profil bunyi yang tersendiri yang menepati citarasa anda.

Galaxy Buds3 Pro mempunyai tiga mikrofon secara terbina sekaligus menawarkan pengalaman panggilan suara yang lebih baik, lebih jelas dan dapat mengurangkan bunyi bising ketika bercakap.

Tidak ketinggalan, peranti ini turut dilengkapi dengan fungsi Active Noise Cancellation (ANC) yang dipertingkat. Yang mana, ia mampu bertindak secara automatik untuk menukar mod ANC kepada mod Ambient sebaik pengguna mula bercakap.

Selain itu, ia turut hadir dengan fungsi 360 Audio dan Direct Multi-Channel untuk pengalaman audio yang lebih baik. Dari segi sokongan codec, ia menyokong pelbagai jenis codec antaranya 24bit HiFi, SSC, SSC UHQ, AAC dan SBC.

Selain itu, anda boleh mengawal pelarasan bunyi pada peranti ini dengan menyokong dua jenis kawalan iaitu swipe dan pinch di mana kedua-dua kawalan ini menawarkan fungsi yang berbeza.

Untuk swipe, ia membolehkan pengguna mengawal kelantangan bunyi. Manakala untuk pinch, ia menawarkan kawalan yang lebih banyak seperti play and pause, tukar mod ANC, jawab panggilan dan melancarkan aplikasi kegemaran.

Ia juga menyokong penstriman audio HiFi pada 24-bit menerusi codec SSC, serta hadir dengan ciri panggilan baharu Super-Wideband untuk meningkatkan lagi kualiti suara pemanggil dalam persekitaran bising dengan mudah.

Untuk menghubungkan peranti ini dengan telefon pintar anda hanya perlu mengaktifkan ciri Bluetooth dan dalam beberapa saat peranti ini akan dipadankan secara terus. Untuk menyokong lebih banyak fungsi menarik pada Galaxy Buds3 Pro, anda digalakkan untuk memasang aplikasi Galaxy Wearable.

Bagi peranti Samsung, ia tersedia secara terbina manakala untuk peranti lain ia perlu dimuat turun melalui Play Store atau App Store. Aplikasi ini membolehkan pengguna mengawal lebih banyak tetapan sekaligus memberikan pengalaman yang lebih baik.

Fungsi Galaxy AI

Selari dengan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI), Samsung tidak ketinggalan memadankan fungsi Galaxy AI pada Galaxy Buds3 Pro. Antara fungsi yang dibawakan adalah seperti live translate dan interpreter.

Untuk live translate, ia menterjemahkan bahasa dalam masa nyata. Manakala interpreter pula, sama seperti live translate tetapi untuk perbualan secara bersemuka. Kedua-dua fungsi ini akan memaparkan perbualan yang diterjemah pada skrin telefon yang disambungkan dengan Galaxy Buds3 Pro.

Anda juga boleh melaras bunyi audio tanpa perlu memegang telefon dengan hanya memberikan arahan seperti “next song” atau “volume up” dan peranti ini akan bertindak pantas berdasarkan kepada arahan diberikan.

Bateri Tahan Lama

Galaxy Buds3 Pro ini mampu bertahan sehingga 6 jam dengan mod ANC diaktifkan dan 7 jam dengan mod ANC dimatikan untuk penggunaan berterusan. Untuk penggunaan dengan bekas pengecas, ia mampu bertahan sehingga 26 jam dengan mod ANC diaktifkan dan meningkat kepada 30 jam dengan mod ANC dimatikan.

Ketika peranti ini diuji, jangka hayat baterinya boleh dikatakan baik dan setanding dengan produk lain namun ia bergantung kepada cara penggunaan. Untuk pengecasan, ia menggunakan pengecasan jenis USB-C yang tersedia di dalam kotak dan turut menyokong pengecasan tanpa wayar.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, peranti ini hadir dalam pakej yang menarik khususnya rekaan yang ergonomik dan pelbagai fungsi yang dikuasakan oleh Galaxy AI. Pembaharuan yang besar dan berani dilakukan Samsung berjaya menarik perhatian penggemar tegar produk dari Korea Selatan ini.

Rekaan lampu pada kedua-dua tangkai fon telinga menyerlahkan lagi gaya premium serta eksklusif mampu memikat dan menggoda sesiapa sahaja yang melihatnya.

Galaxy Buds3 ditawarkan pada harga RM599 manakala Galaxy Buds3 Pro pula berharga RM999 dengan dua pilihan warna iaitu putih dan perak.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini