Honor Malaysia mempertaruhkan peranti terbaharu mereka dalam kelas pertengahan iaitu Siri Honor 200 dan Honor 200 Pro yang hadir dengan fungsi pintar Kecerdasan Buatan (AI) terbina menjadikan spesifikasi peranti ini berbeza dengan lain.

Paling menarik ialah kedua-dua jenis peranti ini mempunyai fungsi kamera AI Matrix yang boleh menghasilkan gambar potret dengan kualiti dan penghasilan sama bagaikan di studio.

Tentu sekali gambar yang terhasil dengan ciri studio menjadi idaman mana-mana pengemar fotografi yang tidak mampu memiliki kamera jenis DSLR dan bergantung sepenuhnya kepada peranti seperti telefon pintar.

Begitu juga golongan remaja yang aktif dalam media sosial dan memerlukan satu peranti hebat daripada segi fotografi menjadikan Honor 200 Pro sebagai pilihan yang sesuai.

Keupayaan Fotografi Potret Bertaraf Studio

Ini kerana keupayaan telefon pintar keluaran China ini sudah cukup hebat untuk menterjemahkan keupayaan sebenarnya kerana menerusi kamera utama 50MP, ia dilengkapi dengan fungsi Professional Harcourt Portrait Mode.

Apa yang membezakan peranti ini berbanding peranti lain di pasaran ialah HONOR telah menjalinkan kolaborasi dengan studio fotografi terkemuka di Paris iaitu Studio Harcourt untuk membangunkan HONOR AI Portrait Engine secara bersama yang membolehkan Siri
HONOR 200 menawarkan keupayaan fotografi potret bertaraf studio.

Studio Harcourt, yang mempunyai sejarah sepanjang sembilan dekad telah banyak merekodkan sejarah dalam mengambil gambar barisan selebriti dan golongan diraja, daripada Roger Federer hinggalah kepada Permaisuri Rania dari Jordan.

Studio ini juga amat sinonim dengan mencipta potret abadi dengan kepakaran menggabungkan cahaya dan bayang bagi menghasilkan karya agung yang memaparkan penceritaan visual yang mengagumkan.

Dengan fungsi ini, gambar yang dirakam akan dioptimasi dengan memberikan perincian yang lebih di bahagian muka, dan turut memberikan bokeh yang bersesuaian dengan pencahayaan serta tona warna wajah yang tepat.

Kerjasama dengan Harcourt ini adalah studio penggambaran potret dari Perancis, bagi menambah baik algoritma penggambaran portret yang digunakan dalam Honor AI Portrait Engine.

Spesifikasi Kamera

Sistem kamera yang digunakan adalah kamera telefoto 50MP Sony IMX 856, kamera sudut lebar 12MP yang turut dilengkapi OIS dan EIS serta kamera swafoto 50MP.

Bagi Honor 200, ia menggunakan kamera utama 50MP Sony IMX 906 1/1.56-inci manakala Honor 200 Pro menggunakan kamera utama 50MP H9000 1/1.3-inci. Perbezaan kamera ini memberikan fungsi AI Natural Tone 2.0 dan AI Motion Sensing khas untuk Honor 200 Pro.

Peranti ini juga dilengkapi ciri sistem anti-gegaran Dual OIS+EIS dan 23 tahap bokeh (F1.2 hingga F16) yang membantu merakam video yang stabil manakala ciri bokehnya kelihatan lebih hebat.

REKAAN KONTUR BADAN 

Pada pandangan mata kasar penulis, kemasan pada peranti yang berukuran 163.3 x 75.2 x 8.2mm ini cukup menarik dan ringkas bersama penggunaan satu tona warna penuh secara menyeluruh seakan sebuah peranti premium untuk golongan muda yang aktif.

Honor 200 Pro dengan skrin lengkung 6.78 inci AMOLED Quad 120Hz, dijana cip Snapdragon 8s Gen 3 dengan memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri karbon-silikon berkuasa 5200 mAh serta pengecasan pantas 100W.

Walaupun kelihatan ringkas, peranti seberat 199 gram ini mempunyai kemasan dua tona iaitu licin pada bahagian berhampiran bingkai kamera manakala selebihnya permukaan yang kusam sekali gus tidak mudah meninggalkan kesan cap jari atau mudah kotor.

Susun atur butangnya adalah standard dimana, butang kuasa dan laras suara hanya diletakkan pada bahagian sisi kanan manakala terdapat satu lubang mikrofon dan slot untuk SIM pada bahagian bawah.

Peranti ini disambungkan dengan port USB-C pada bahagian bawah dengan lubang mikrofon dan juga pembesar suara. Lebih menariknya di sini, pembesar suaranya adalah stereo berkembar.

Bagaimanapun, untuk peranti terbaharu ini tiada lagi bicu audio dibekalkan malah tiada juga kepala pengecas disertakan.

Sebanyak dua warna menarik ditawarkan untuk Honor 200 Pro iaitu Moonlight White dan Ocean Cyan manakala Coral Pink, Moodlight White serta Black bagi varian Honor 200. Harga runcit bagi peranti ini masih belum diumumkan dan penulis menjangkakan ia ditawarkan pada harga sekitar RM2,000.

* Nantikan ulasan lebih mendalam Honor 200 Pro 

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini