Perodua akan meningkatkan jualan eksport tahun ini sebanyak 79% kepada 1,960 unit berbanding 1,094 unit pada tahun 2023 berikutan sasaran yang dibuat oleh syarikat kereta kompak itu untuk meluaskan pasaran luar negaranya.
Pada 3 Mei 2024, Perodua telah memperkenalkan kereta model Alza AV dan H serta Axia AV dan G ke Brunei dengan sasaran jualan masing-masing sebanyak 120 unit serta 40 unit.
Di samping itu, Perodua turut mengeksport model Bezza 1.0L G ke Brunei dengan jangkaan jualan sebanyak 300 unit, menjadikan jumlah sasaran keseluruhan jualan tahun 2024 di negara berkenaan sebanyak 460 unit.
Pada tahun 2023, Perodua telah mencatat jualan sebanyak 300 unit Bezza 1.0L G ke Brunei, menjadikannya pasaran eksport terbesar syarikat berkenaan pada tahun lalu.
“Kami menjangkakan tahun 2024 akan menjadi tahun pertama pengembangan pasaran eksport kami kerana kami kini berada di tahap yang mana ekosistem automotif Malaysia sudah mampu untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat terhadap kenderaan kami, sama ada di dalam mahupun di luar negara,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Beliau menjangka pertumbuhan yang berterusan di dalam pasaran eksport Perodua berikutan pengembangan agresif yang dijalankan oleh syarikat berkenaan di dalam
operasinya di samping keupayaan pengeluaran para pembekalnya.
“Brunei adalah pasaran eksport pertama dipilih bagi tujuan pengembangan operasi tanpa menjejaskan peruntukan domestik kenderaan kami. Malah, kami telah berjaya mengurangkan tempoh menunggu untuk semua model popular kami dan mempunyai stok tersedia bagi sesetengah model kenderaan.
“Di samping itu, sasaran kami untuk meningkatkan pasaran eksport juga akan memberikan peluang yang lebih besar kepada para pembekal kami untuk turut sama meningkatkan jumlah jualan mereka selaras dengan keperluan bagi komponen alat ganti,” kata Dato’ Sri Zainal.
Bagi model yang baru dilancarkan di Brunei, harga yang ditawarkan adalah sebanyak B$30,900 bagi model Alza AV; B$27,900 bagi model Alza H; B$21,900 bagi model Axia AV dan B$17,900 bagi model Axia G. Manakala, harga bagi model Bezza 1.0L G adalah sebanyak B$16,900.
Kesemua harga yang disenaraikan adalah termasuk cukai jalan dan insurans.