Memandangkan prestasi jualan domestik pengeluar kereta nasional PROTON melebihi 150,000 unit pada tahun 2023, prestasi terbaiknya sejak tahun 2012, syarikat turut menetapkan semula jangkaan di beberapa pasaran eksport.

Salah satu pasaran terawalnya, Brunei Darussalam, menunjukkan pertumbuhan luar biasa bagi tahun lepas dengan mencatat rekod jualan baharu bagi jenama Proton.

Setahun selepas menjual 422 unit pada tahun 2022, jualan meningkat sebanyak 87% pada tahun 2023 apabila 789 unit kenderaan Proton dijual di Brunei pada tahun 2023. Prestasi luar biasa itu melonjakkan jenama itu ke tangga kelima keseluruhan dalam jadual jualan dan memperoleh pegangan pasaran sebanyak 5.4%, naik satu tempat dan meningkat 2.2% berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah Volum Industri (TIV) bagi negara tersebut ditutup pada 14,640 unit untuk tahun 2023, peningkatan daripada 13,000 unit bagi tahun 2022.

Proton X50 menduduki tempat ketiga untuk jualan SUV segmen B

Proton X50 telah menjadi model Proton siri X terlaris sejak diperkenalkan pada Oktober 2020. Lebih 100,000 unit telah dikeluarkan dari barisan pemasangan di kilang PROTON di Tanjong Malim, dan ini membuktikan popularitinya dengan pelanggan sama ada di Malaysia atau luar negara.

Oleh itu, tidak mengejutkan bahawa SUV segmen B ini mendahului jualan untuk semua model Proton di Brunei. 476 unit Proton X50 telah dijual di sana pada tahun 2023, merangkumi kira-kira 60% daripada jumlah jualan Proton dan memacu model itu ke tempat ketiga keseluruhan dalam segmen pasarannya.

“Populariti Proton X50 di Brunei boleh dikaitkan dengan komunikasi yang jelas tentang nilai dan cirinya, serta ekuiti jenama kami. PROTON bekerjasama rapat dengan pengimport kami, PAD Motors, untuk mempromosikan harga kompetitif dan ciri-ciri unggul model itu berbanding pesaingnya di samping menawarkan pakej kewangan untuk memudahkan pembelian.

“Ini disokong dengan aktiviti kami untuk mempromosikan jenama PROTON, yang dibantu oleh kejayaan X50 di Malaysia yang membantu membina keyakinan pelanggan Brunei,” kata Steven Xu, Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa, PROTON.

Hasil daripada usaha promosi dan penjenamaan, model Proton lain turut disenaraikan dalam tempat 10 teratas segmen masing-masing pada tahun 2023. Proton Persona dan Proton Iriz berada di kedudukan keenam dan kelapan untuk kereta segmen B manakala Proton X90 menduduki tempat ketujuh untuk SUV segmen D walaupun telah dijual kurang daripada setengah tahun.

Dengan menggunakan kejayaan pada tahun 2023 sebagai landasan, kedua-dua PROTON dan PAD Motors yakin untuk mencapai lebih daripada 1,000 unit untuk Brunei pada tahun 2024. Kunci untuk mencapai matlamat itu ialah pelancaran Proton S70 serba baharu, yang dijangka berlaku sebelum hujung Februari. Negara itu merupakan pasaran antarabangsa pertama yang menerima model itu dan 15 unit telah dihantar ke sana bulan lepas menjelang pelancaran rasminya.

“Untuk 2024, PROTON yakin dapat mencapai lebih banyak pertumbuhan di Brunei. Dengan minat yang berterusan terhadap Proton X50 dan model lain serta pengenalan Proton S70, kami menyasarkan untuk menembusi halangan 1,000 unit pada akhir tahun ini,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini