Pembekal mobiliti pintar, ACO Tech, telah menandatangan satu Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Geno dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) untuk mengkaji penggunaan penyelesaian rantaian blok (blockchain) bagi infrastruktur Kenderaan Elektrik (EV) Malaysia.

MoC tersebut membuka jalan untuk penerokaan penyelesaian rantaian blok termasuk kontrak pintar, pengurusan jejak digital rantaian bekalan, penyelesaian tokenomik dan teknologi perlindungan privasi bagi melengkapkan penyelesaian ACO Tech untuk Platfom Perkhidmatan Mobiliti Elektrik (EMSP).

Usaha ini boleh memastikan privasi dan hak milik data, membolehkan pengewangan data, dan memanfaatkan pelabur strategik melalui pelaburan jangka panjang. EMSP adalah teras Visi Mobiliti Terhubung Kerajaan untuk membantu memperkasa pembangunan infrastruktur EV di Malaysia.

Kecekapan dan keupayaan bersama ACO Tech, Geno, dan MARii dapat menangani kebimbangan berkaitan pemilikan EV seperti kekurangan port pengecasan dan kadar
pengecasan yang tidak konsisten.

Penggunaan penyelesaian teknologi rantaian blok memperkasakan pengeluar EV, penyedia perkhidmatan, dan pemilik/pengguna untuk berinteraksi secara lebih interaktif melalui sistem lejar tidak berpusat yang tidak boleh disunting.

Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan kos, meningkatkan pengalaman dan keyakinan pengguna, serta membentuk rekod penjejakan dan penyelenggaraan yang lancar.

Selain itu, ia memudahkan perkongsian tenaga dan pengecas, memastikan ketelusan
sepanjang kitaran hidup produk dan perkhidmatan. Kolaborasi ini sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR).

Kerajaan sasar untuk mencapai 20% Kenderaan Elektrik (xEV) menjelang 2030, 50% menjelang 2040 dan 80% menjelang 2050. Perjanjian ini membuka jalan bagi sektor automotif menjadi sektor pertama menggunakan teknologi rantaian blok secara meluas dalam industri di Malaysia.

MoC tersebut dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech, Li Pu; Ketua Pegawai
Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz, dan Ketua Pegawai Eksekutif Geno, Zhang Yi Ian.

Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech, Li Pu berkata, “Kami teruja dengan prospek
pertumbuhan sektor mobiliti di Malaysia dengan adanya sokongan Kerajaan dan polisi yang
progresif.

“Sebagai pembekal penyelesaian mobiliti pintar yang utama, ACO Tech bersedia
untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran kami serta menyokong semua pihak
berkepentingan dalam mencapai matlamat negara,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz menegaskan komitmen mereka dan
berkata, “Kerjasama kami dengan ACO Tech, sebuah syarikat usaha sama antara PROTON,
ECARX dan Altel Communications, dan Geno, merupakan langkah penting yang dapat
mencorak masa depan ekosistem EV di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Geno, Zhang Yi Ian menyatakan kebanggaannya dengan sumbangan pasukan Geno kepada projek ini. “Inisiatif ini merupakan aplikasi industri rantaian blok yang pertama.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini