Trak pikap yang menerima banyak pengiktirafan, Isusu D-Max meneruskan pertumbuhan mengagumkan melalui rekod jualan memberangsangkan pada 2023 dengan mengatasi angka 9,211 unit yang dijual pada 2022, melibatkan pertambahan jualan sebanyak 439 unit.

Rekod baru dengan jualan 9,650 unit bagi tahun lalu menjadi bukti kepada keberhasilan rekaan dan ciri yang ditawarkan oleh trak pikap berkenaan, yang telah mengubah pasaran dan meraih lebih banyak penggemarnya.

Dengan rekod jualan dua tahun berturut-turut di Malaysia, Isuzu D-Max generasi ketiga berjaya membuka jalan tersendiri dan menjadi trak pikap pilihan pengguna.

“Sejak D-Max generasi ketiga diperkenalkan di Malaysia pada 2021, minat terhadap model ini sangat konsisten tinggi disebabkan oleh cirinya yang canggih, karektor pemanduan cemerlang, operasi versatil dan nilai yang menguntungkan.

Model baru ini juga telah memperluaskan lingkungan pelanggan kami dan mencatatkan perluasan jualan sebanyak 185%, dan dalam masa yang sama mengekalkan kelompok pelanggan sedia ada,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

Dengan barisan lapan varian komprehensif untuk Isuzu D-Max, pelanggan boleh memilih model mana yang bersesuaian dengan kegunaan mereka, bermula dari versi Single Cab hinggalah kepada yang paling canggih dan model flagship, X-Terrain.

Menjadi pilihan utama sekali lagi adalah varian 1.9L Standard yang menyumbang sebanyak 28% jualan. Varian ini menjadi begitu popular kerana kapasiti enjinnya yang menjimatkan bahan api serta memberi manfaat kadar cukai jalan dan kos penyelenggaraan yang rendah, tetapi dengan prestasi yang mengagumkan.

Permintaan terhadap varian X-Terrain juga terus meningkat sepanjang 2023, didorong oleh
tahap kecanggihan dan penampilannya yang segar serta kemampuan prestasi off-road yang diberikan.

Walaupun masih baru dalam segmen trak pikap gaya hidup, X-Terrain semakin ke depan dan meraih banyak perhatian. Jualannya juga meningkat sebanyak 24.5% sejak pelancarannya. Ciri menariknya termasuklah Advanced Driving Assistance Systems (ADAS) dan juga jaminan tujuh-tahun tanpa had perbatuan.

Permintaan kukuh yang berterusan untuk Isuzu D-Max membolehkan jenama ini untuk berada di kedudukan No. 2 di Sabah, Kedah dan Pahang bagi segmen trak pikap.

Sementara untuk kedudukan peringkat nasional pula, ia berada di kedudukan No. 3 dengan kadar perkongsian pasaran sebanyak 16.6%.

“Isuzu D-Max generasi ketiga telah menjadi model penting bagi jenama ini kerana ia
menggabungkan keupayaan kejuruteraan terbaik Isuzu dengan kecanggihan kenderaan moden serta rekaan ergonomik yang diperlukan oleh pengguna. Ini menjadikan D-Max sebuah trak pikap yang sangat berkeupayaan dalam memenuhi keperluan setiap penggunanya. Ia trak untuk semua,” kata Okazoe.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini