Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dato Dr Mustapha Ahmad Marican dilantik sebagai Penasihat utama Persatuan Khamer Muslim Usahawan Muda Kemboja.
Beliau menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik menganggotai persatuan yang kesemuanya rakyat Kemboja dan pelantikan itu berdasarkan pengalaman meluas dalam pentadbiran kerajaan Malaysia.
Beliau yang mempunyai pengalaman 34 tahun pernah berkhidmat di pelbagai Kementerian dan pernah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Negeri dan Ketua Eksekutif GLC Utama Negeri Terengganu.
Mustapha juga pernah menerima pelbagai pengiktifan antarabangsa termasuk di Kemboja, Arab Saudi dan Taiwan.
Mustapha yang aktif dalam NGO Antarabangsa selama 24 tahun di negara Asean seperti di Kemboja, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Filipina terbabit dalam pelbagai jenis program kebajikan seperti pembinaan masjid, surau, sekolah tahfiz dan lain-lain aktiviti dengan paling banyak ialah di Kemboja membabitkan pembinaan 4,100 perigi, 6 buah masjid, 10 surau dan tanah perkuburan Islam serta pelbagai aktiviti kebajikan yang dijalankan.
Sementara itu, Mustapha mengucapkan perhargaan atas kepercayaan rakyat Kemboja yang melantik beliau selaku Penasihat Utama Persatuan Khamer Muslim Usahawan Muda Kemboja.
“Saya berharap semua ahli perlu mengadakan kerjasama dengan persatuan perniagaan dan perdagangan Kemboja yang sudah lama termasuk ahli perniagaan antarabangsa yang berada di Kemboja termasuk ahli perniagaan Malaysia,” katanya.
Mustapha berharap ahli persatuan mesti melihat masa kini dan masa depan perniagaan yang menjadi tumpuan serta bekerjasama dengan lain-lain persatuan yang boleh menjana ekonomi yang lebih baik demi kepentingan persatuan dan negara.