Saban tahun, bertan-tan bahan pengeluaran bergerak menuju ke kilang-kilang Volvo Cars
dengan kapal-kapal kontena yang melalui lautan dunia. Kini, kebanyakan perjalanan
merentasi lautan ini akan dilakukan dengan bahan api yang boleh diperbaharui dan bukan
lagi bahan api fosil seperti kebiasaannya.

Sebagai pembuat kereta global pertama yang mengumumkan perubahan baharu ini,
pengurangan pelepasan CO2 fosil sebanyak 55,000 tan akan dicapai oleh Volvo Cars dalam
masa setahun melalui pengangkutan laut antara dunia.

Bahan api boleh diperbaharui ini juga akan mengurangkan pelepasan CO2 sehingga 84 peratus* berbanding bahan api fosil. Pengurangan ini bersamaan dengan pelepasan CO2 sebuah trak penuh muatan yang bergerak mengelilingi khatulistiwa sebanyak 1,200 kali.

Bahan api yang digunakan ialah Asid Lemak Metil Ester (FAME) yang berasaskan sumber-
sumber boleh diperbaharui dan mampan seperti minyak masak terpakai. Tiada bahan
mentah yang berkaitan dengan pengeluaran minyak sawit ataupun minyak sawit telah
digunakan.

Volvo Cars akan menggunakan bahan api boleh diperbaharui untuk pengangkutan kontena
laut yang membawa bahan-bahan pengeluaran untuk kilang-kilang pembuatannya yang
berpusat di Eropah dan Amerika, serta semua pengedaran alat ganti yang dihasilkan secara
global.

“Penggunaan bahan api boleh diperbaharui bukanlah langkah terakhir dalam mengeluarkan
CO2 daripada keperluan pengangkutan laut dunia,” kata Javier Varela, Ketua Pegawai
Operasi dan Timbalan CEO Volvo Cars.

“Namun inisiatif ini menunjukkan bahawa kita boleh bertindak sekarang dan melaksanakan penyelesaian untuk mencapai hasil yang ketara sementara menunggu alternatif teknologi untuk jangka masa panjang.”

“Kami tidak melihat inisiatif ini sebagai kelebihan dalam persaingan. Sebaliknya, kami ingin pembuat kereta lain untuk mengikut serta dalam meningkatkan permintaan untuk pengangkutan laut yang jimat karbon serta meletakkan bahan api boleh diperbaharui sebagai penyelesaian jangka masa sederhana yang berkesan. Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk bertindak,” katanya.

Volvo Cars telah mengusahakan inisiatif ini bersama-sama dengan rakan logistik mereka
Maersk, Kuehne+Nagel, dan DB Schenker. Penyedia-penyedia perkhidmatan logistik
tersebut telah bertukar ke bahan api boleh diperbaharui bermula 1 Jun 2023 untuk semua
penghantaran kontena Volvo Cars.

Sekiranya bahan api boleh diperbaharui tidak tersedia pada penghantaran tertentu,
peruntukan bahan api boleh diperbaharui tersebut akan digunakan oleh rakan logistik Volvo
Cars untuk penghantaran pelanggan lain, menjadikan potongan penggunaan bahan api fosil
setara dengan penggunaan sebenar oleh kapal kontena.

Kaedah ini, yang dikenali sebagai pengimbangan massa, diaudit oleh pihak ketiga secara berkala. Bahan api boleh diperbaharui itu telah diperakui dan tidak dihasilkan dalam persaingan dengan tanaman makanan.

Oleh itu, ia adalah mampan, mengikut Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED)
Kesatuan Eropah.