Filem Mar Rak yang membawa kisah Menora dan budaya Siam Kelantan bakal menemui penonton 2 Nov ini.

Mar Rak yang membawa makna iaitu Mar (bahasa Kelantan maksudnya mari) Rak pula dalam bahasa Siam bermaksud cinta.

Filem ini tidaklah 100 peratus tentang dramatari Menora kerana filem turut diselitkan genre aksi, thriller dan suspen thriller.

Filem Mar Rak mengisahkan percintaan Krasem dan Rashida yang terjalin secara rahsia kerana perbezaan agama dan bangsa. Dicemburui oleh Ai Ling kerana cintanya tidak dibalas, Krasem terpaksa menolak cinta Ai Ling kerana hatinya telah dimiliki oleh Rashidah.

Ai Ling yang sangat sayang kepada Krasem berasa amat kecewa kerana cintanya ditolak mulai marah dan dendam sehingga sanggup menggunakan jampi mentera hikmat dari Mophi iaitu bomoh hantu bagi menjayakan hasratnya memiliki cinta Krasem.

Pengarahnya, Dato’ T.S Jefry yang berpengalaman selama 33 tahun dalam industri seni tanah air Malaysia popular dengan filem dan drama arahan beliau antaranya Hantu Bukit Cina, Digarhayu, Halimah Jongang, Masak Lomak Cili Api, Awe keno Nikoh dan banyak lagi.

Untuk filem arahan beliau kali ini , Datuk T S Jeffry mempertaruhkan penyanyi yang juga pendatang baru dalam bidang lakonan iaitu Kael dan Shatirah Amanda.

Mereka sebagai tunjang utama filem ini dan turut dibantu oleh pelakon lain iaitu Nina KSC, Dyvianna James, Dalip Singh, Aghonderan Sahadevan dan ramai lagi.

Keistimewaan filem Mar Rak ini menggunakan khidmat suara nyanyian dari empat pelakon utamanya. Lagu berjudul ‘Seru Cinta’ juga mendapat sentuhan lirik dari Datuk T S Jeffry sendiri manakala lagu dan musiknya oleh Kaber Bambu.

Berikutan isu klip video sedutan filem itu yang mengandungi aksi panas viral di media sosial, Jefry menganggap ianya cubaan untuk menjatuhkan filem tersebut.

Jeffry berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya dapat mengenal pasti individu yang menyebarkan video itu tanpa kebenarannya.

“Sehingga kini kami masih belum mengenalpasti dalang di sebalik perbuatan ini. Saya akan panggil kesemua kru produksi yang terlibat dan akan menyiasat perkara ini.

“Kalau saya tahu siapa individu itu saya sedia untuk mengambil tindakan. Nak kata ada unsur sabotaj saya pun tak berani cakap lebih.

“Tetapi saya ingin tegaskan filem ini bukan untuk menonjolkan adegan seks seperti yang didakwa ramai pihak,” katanya ketika ditemui pada sidang media Tayangan Perdana Filem Mar Rak di sini, malam tadi.

Menurut Jeffry, dia juga tampil menafikan terdapat adegan panas seperti yang ditularkan kerana tidak tergamak untuk menjual adegan seks sebagai ‘pelaris’ filem itu.