Maybank Islamic Berhad baru-baru ini menjalin kerjasama dengan Synxsoft Sdn Bhd, sebuah syarikat pembangunan perisian digital bagi membolehkan pelanggan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) mengakses dan memperoleh sijil Halal untuk perniagaan mereka secara digital dengan lancar.

Perkhidmatan ini tersedia bagi pelanggan di Kuala Lumpur dan Selangor, dan akan diperluaskan di seluruh negara pada Januari 2024.

Synxsoft yang menawarkan perkhidmatan aplikasi mudah alih dan pembangunan perisian,
memiliki platform Halal yang dikenali sebagai CoreHalal. Melalui platform ini, pelanggan
Maybank Islamic dapat mengetahui tahap kesediaan mereka melalui penilaian dalam talian
yang dipanggil “Taqyim” dan memudahkan pengurusan dokumen Halal mereka melalui
Sistem Jaminan Halal atau “Halal Assurance System” (HAS).

“Inisiatif ini dapat menjadikan proses pensijilan Halal dan pengurusan dokumen pelanggan
PMKS menjadi lebih lancar melalui penyelesaian digital yang dipercayai dan efisien.
Platform ini bertujuan untuk mengubah persepsi bahawa pensijilan Halal adalah mahal,
memakan masa dan rumit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Dato’ Mohamed Rafique Merican.

Beliau menambah bahawa melalui kerjasama dengan Synxsoft, Maybank Islamic
menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pelanggan PMKS Kumpulan Maybank yang diiktiraf Halal oleh JAKIM di Malaysia serta menyokong usaha untuk menaik taraf, merangsang pertumbuhan dan meningkatkan daya tahan perniagaan mereka.

Inisiatif Halal ini adalah hasil daripada pelbagai sesi pertemuan yang dijalankan bersama
pelanggan yang menghadapi pelbagai cabaran dalam proses mendapatkan pensijilan Halal.
Setakat Julai 2023, Kumpulan Maybank mempunyai sebanyak 3,897 pelanggan yang diiktiraf Halal dengan fasiliti perbankan berjumlah RM3.3 bilion.

Bank berhasrat untuk meningkatkan jumlah syarikat yang diiktiraf Halal kepada 4,200 menjelang akhir tahun depan.

“Dengan peningkatan kesedaran pengguna terhadap produk Halal, nilai-nilai asas Halal
seperti kebersihan dan standard etika yang mampan semakin diakui dan diterima oleh orang Islam dan bukan Islam,” kata Dato’ Mohamed Rafique sambil menambah bahawa sumbangan dan kepentingan industri Halal sebagai sektor strategik dalam pembangunan ekonomi negara semakin meningkat.

Berdasarkan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang diperkenalkan oleh Halal
Development Corporation Berhad (HDC), industri Halal Malaysia keseluruhannya dijangka
akan mencapai USD113.2 bilion menjelang tahun 2030 dan menyumbang sebanyak 11%
kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada tahun 2022, eksport Halal Malaysia telah mencatatkan nilai RM59.46 bilion, dengan pertumbuhan sebanyak 64% berbanding tahun sebelumnya. Dalam kategori ini, sektor Makanan & Minuman (F&B) merupakan penyumbang terbesar kepada eksport Halal dengan pertumbuhan sebanyak 58%.

Semasa majlis pemeteraian kerjasama baru-baru ini, sijil Halal diberikan kepada empat
syarikat makanan dan minuman yang diiktiraf dalam program Inisiatif Halal Maybank Islamic.

Empat syarikat tersebut ialah Aducktive Food Sdn Bhd, DGJ Alhambra Sdn Bhd, Juta Sdn
Bhd, dan MZ Empire Industry.