Acara larian keluarga bertemakan watak animasi popular Malaysia iaitu Upin & Ipin kembali lagi pada tahun ini.

Upin & Ipin Family Fun Run 2023 akan dilangsungkan pada hari Sabtu, 16 Disember 2023 di MITC, Melaka bersempena dengan Karnival Upin & Ipin 2023 yang akan diadakan pada 15 hingga 17 Disember 2023 di MITC, Melaka.

Acara larian bersama keluarga sejauh 5KM ini merupakan acara larian yang dinanti-nantikan buat peminat setia Upin & Ipin setiap kali ianya dianjurkan. Kali terakhir Upin & Ipin Fun Run diadakan di Melaka adalah pada tahun 2019 dan penganjuran kali ini pasti akan mengubati kerinduan.

Acara Upin & Ipin Family Fun Run 2023 menawarkan rekaan baju dan medal larian yang cantik serta eksklusif yang berkonsepkan watak Upin & Ipin.

Peserta acara larian ini juga akan berpeluang bertemu dengan maskot Upin & Ipin ketika sesi pemanasan badan dan acara perlepasan peserta larian. Penganjur bersama iaitu JomRun akan memastikan kelancaran aturcara larian dan tahap keselamatan peserta dijaga terutama sekali bagi peserta kanak-kanak.

Tawaran yuran pendaftaran awal serendah RM35 sahaja bagi Upin & Ipin Family Fun Run 2023 telahpun dibuka di laman web https://www.jomrun.com/event/Upin-&-Ipin-Family-FunRun-2023 dan aplikasi JomRun.

Peserta larian juga boleh mendapatkan cenderamata Upin & Ipin pada harga istimewa ketika membuat pendaftaran.

Antaranya adalah botol minuman Upin & Ipin, mainan patung Upin & Ipin dan aksesori rambut Upin yang ditawarkan dengan potongan harga mencecah sehingga 40%. Selain itu, peserta larian juga sudah boleh mendapatkan awal tiket ke Karnival Upin & Ipin 2023 di MITC, Melaka dengan setiap pendaftaran acara Upin & Ipin Family Fun Run 2023.