Pengerusi NGO Antarabangsa Dato’ (Dr) Mustapha Marican telah menerima sijil penghargaan khas Tokoh NGO Sejagat dari Ustaz Ramly Yusof iaitu mudir Kampung Jamuan dengan disaksikan oleh penduduk dan AJK masjid di situ.
Menurut Mustapha beliau tidak mengharapkan apa-apa pengiktirafan kerana apa yang penting baginya adalah niat untuk membantu setakat yang mampu dan buat sehabis baik.
“Sejujurnya saya gembira bila melihat kerja-kerja kebaikan ini dapat dilaksanakan seperti yang telah dirancang. Ramai pihak yang terlibat dalam melaksanakan tugas-tugas kebajikan ini, bermula dari sumbangan mereka yang dermawan hinggalah ke pelaksanaannya.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya menjalankan amanah ini dengan sebaik yang mungkin,” katanya yang ketika ini berada di Kampung Jamuan, Sempadan Kemboja dan Vietnam.
Dalam lawatan ke kampung berkenaan, beliau turut meletakkan papan tanda Nama tempat wuduk wanita dan tangga di Masjid Kg Jamuan dan menyerahkan sumbangan dari penderma-penderma Malaysia bagi menyiapkan tempat wuduk dan tangga berkenaan.
Pada majlis itu, Dr Mustapha turut di Anugerah Tokoh NGO sejagat dari perkampungan berkenaan yang disampaikan oleh mudir kampung berkenaan, ustaz Ramly Yusof sambil disaksikan oleh Iman/Hakim, ustaz Ghazali Ismai serta 100 orang penduduk kampung tersebut

Mustapha sudah terlibat dengan aktiviti NGO hampir 24 tahun dan banyak memainkan peranan di negara-negara Asia bagi membantu umat Islam yang memerlukan.
Antara sumbangan beliau di negara-negara Asean ialah membantu pembinaan masjid, surau, perigi, sekolah-sekolah agama, rumah anak-anak yatim serta menyediakan tapak tanah untuk perkuburan umat Islam.
Mustapha banyak menerima pengiktirafan atas sumbangannya melakukan kerja-kerja kebajikan dari dalam dan luar negara.
Beliau pernah menerima Tokoh Utama Maulidur Rasul pada tahun 2020 atas usahanya selama 24 tahun dalam membantu umat Islam minoriti di negara Asean.




































