Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia), operator takaful PERTAMA di Malaysia, melalui agenda kelestarian pembangunan bangsa, telah menyediakan fasiliti pembuatan bakeri untuk rumah perlindungan dan pusat pemulihan remaja, Raudhatus Sakinah.
Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk menyediakan kemahiran praktikal dan semangat kemasyarakatan kepada penghuni tersebut.
Kelestarian jangka panjang program amal ini bertujuan membina kemahiran yang berharga dan mewujudkan persekitaran positif dan memupuk serta membantu mereka meningkatkan keyakinan dan kejayaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli berkata, sejajar dengan semangat takaful iaitu membantu mereka yang memerlukan, fasiliti pembuatan bakeri yang disediakan untuk remaja rumah perlindungan Raudhatus Sakinah, adalah inisiatif yang terpuji dalam memberikan kemahiran praktikal dengan galakan kreativiti dan keusahawanan di kalangan penghuni.
Pembuatan bakeri ini mampu memperkasakan remaja rumah perlindungan dengan memberikan mereka alat dan pengetahuan yang memupuk sifat sara diri dan berdikari serta peluang untuk mempelajari kemahiran yang berguna untuk pekerjaan masa hadapan.
“Kami bekerjasama rapat dengan pengurusan Raudhatus Sakinah bagi menentukan keperluan khusus mereka untuk fasiliti pembuatan bakeri, dan penghuni turut mempelajari kemahiran bakeri dan menjual hasilnya untuk menjana pendapatan bagi menampung operasi harian tempat perlindungan tersebut.
“Melalui program amal ini, Takaful Malaysia menyediakan fasiliti pembuatan bakeri dan peralatan yang lengkap kepada Raudhatus Sakinah, sebuah tempat perlindungan dan pusat pemulihan di Selangor untuk remaja perempuan Muslim,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kemudahan itu memberi akses kepada penghuni terhadap sumber pembuatan bakeri yang sesuai, meningkatkan kemahiran hidup dan kelestarian diri serta berusaha ke arah masa depan yang terjamin dan berdikari.
“Kami akan memastikan fasiliti pembuatan bakeri ini mematuhi peraturan keselamatan, termasuk pengendalian makanan yang betul, kebersihan dan pengawasan pihak pengurusan.
“Kami amat berbesar hati kerana inisiatif ini membangkitkan kreativiti dan eksplorasi penghuni dalam pembuatan bakeri. Raudhatus Sakinah telah mendapat sambutan yang menggalakkan serta tempahan produk bakeri dari pelbagai pihak dan kami sememangnya gembira menerima maklum balas positif daripada inisiatif ini,” katanya lagi.
Beliau berkata, program itu mencerminkan komitmen syarikat yang teguh untuk memberi impak positif kepada komuniti dengan membantu mereka yang memerlukan dan memenuhi tanggungjawab kami kepada penerima Asnaf yang layak.
Sejajar dengan nilai kami sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang bertanggungjawab dan prihatin. Ia adalah mengenai impak yang dicipta, perubahan yang dilakukan dalam kehidupan individu dan komuniti serta warisan yang ditinggalkan untuk generasi masa depan.
“Bersandarkan ini, kami telah mengorak langkah untuk mengukuhkan usaha berasaskan komuniti dan memacu perubahan bermakna untuk legasi positif yang berkekalan,” kata Mohamed Sabri Ramli.