Selepas beberapa minggu penulis menguji peranti terbaharu Samsung Galaxy Z Flip5, ramai yang teruja dengan gaya baharunya yang kelihatan lebih elegan, minimalis malah tidak kurang yang cemburu kerana kelihatan muda remaja apabila menggunakannya.

Apa yang dimaksudkan dengan kelihatan muda remaja ialah apabila seseorang yang sudah berusia tetapi tampil bergaya apabila mengayakan sebuah peranti yang boleh dilipat yang kelihatan unik dan berbeza berbanding peranti sedia ada sekarang.

Namun, tiada siapa yang boleh melarang atau menghalang minat seseorang untuk bergaya asalkan ‘poket anda tebal’ malah mencerminkan citarasa anda yang sentiasa ‘up to date’.

Menerusi empat generasi sebelumnya, peranti generasi kelima ini sudah membuktikan bahawa segmen peranti skrin boleh lipat adalah relevan untuk pasaran telefon pintar, malah memberi dimensi baharu yang sentiasa segar.

Galaxy Z Flip5 yang dikuasakan dengan spesifikasi serba baharu termasuk beberapa penambahbaikan yang dilaksanakan untuk ketahanan serta pengalaman kepenggunaan paling optimum.

Sebagai sebuah peranti kelas premium, Samsung telah bijak menaik taraf skrin luaran yang lebih besar berbanding Galaxy Z Flip4 untuk generasi terbaharu ini.

Ia merujuk kepada skrin paparan depan yang lebih besar menggunakan panel Super AMOLED bersaiz 3.4″ beresolusi 720 x 748 piksel dengan kadar segar semula 60Hz berbanding Galaxy Z Flip4 dan yang paling ketara adalah tiada lagi ‘ruang kosong’ jika peranti dilipat sepenuhnya.

Selain itu, penambahbaikan yang diterima oleh Galaxy Z Flip5 ini adalah padanan dwi-kamera 12MP yang lebih baik iaitu sistem lensa sudut lebar dan ultra lebar bersama-sama dengan padanan cip pemproses termaju daripada Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2.

Kamera untuk peranti ini juga berupaya merakam sebarang jenis bentuk pencahayaan termasuk malam dengan baik tanpa menjejaskan kualiti imej.

Kelebihan berswafoto apabila menggunakan dwi-kamera ialah gambar yang dihasilkan lebih  cantik, tajam dan jelas berbanding menggunakan lensa swafoto 10MP.

Bagi mereka yang aktif di platform media sosial seperti TikTok atau Instagram, tentu sekali peranti ini amat sesuai digunakan untuk memuatnaik posting atau hantaran dalam bentuk gambar atau video dengan pantas selain ciri kompak yang boleh disimpan kemas dalam kocek atau beg tangan.

Peranti ini mudah untuk dikendalikan kerana menawarkan pelbagai fungsi dan ciri yang menarik kerana menggunakan sistem perisian One UI 5.1.1 berasaskan Android 13 yang terkini dengan jaminan kemas kini Android sebanyak empat versi dan tampalan sekuriti sehingga lima tahun diberikan.

Ini adalah perlu kerana trend semasa ialah menggunakan telefon pintar untuk tempoh yang lebih lama. Anda tidak perlu bimbang mengenai peranti digodam, data dicuri dan aplikasi perbankan berhenti berfungsi kerana sijil keselamatan telah luput.

Dengan memori 8GB RAM dan storan 256GB atau 512GB, ia sudah cukup memadai untuk menyimpan berpuluh ribu gambar dan video tanpa masalah malah anda boleh mencari gambar yang disimpan dengan pantas tanpa lengah.

Kelebihan ciri Flex Mode membolehkan apa jua aplikasi boleh dibuka dalam mod ini dengan aplikasi di atas manakala bahagian bawah mempunyai ruangan khas untuk pad sesentuh yang menyokong gestur, akses pantas ke tangkap layar dengan mudah.

Manakala ciri Flex Window dengan skrin yang lebih besar, pengguna boleh membaca mesej penuh, membalas WhatsApp, dan menonton video YouTube atau Netflix malah melalui aplikasi Good Lock oleh Samsung, anda menggunakan Google Maps atau bermain PUBG Mobile terus pada skrin tanpa membuka skrin penuh.

Skrin luar Z Flip5 ini juga boleh digayakan dengan pelbagai warna, corak, meletakkan gambar sendiri atau menggunakan tema yang mirip muka jam pada Galaxy Watch6.

Untuk saiz skrin bukaan penuh pula ia berukuran 6.7 inci dengan paparan OLED bersama-sama teknologi ‘Dynamic Refresh Rate’ pada kadar 120Hz.

Kesimpulannya, peranti ini memenuhi semua elemen yang diperlukan bagi sebuah peranti premium, malah daripada sudut prestasi, Galaxy Z Flip5 ini jauh meninggalkan ‘abangnya’ iaitu Galaxy Z Flip4 sama ada untuk pengujian penanda aras mahupun mutu pengalaman permainan.

Penambahbaikan yang dilakukan Samsung adalah tepat pada masanya dan tidak hairanlah setiap tahun, Samsung cukup berani menampilkan pembaharuan.

Peranti ini juga dibina menggunakan bahan Armor Aluminium baharu iaitu aluminium terkuat yang pernah digunakan pada telefon pintar Galaxy—berserta Gorilla Glass Victus™ 2 yang paling utuh untuk melindunginya daripada calar dan jika ia terjatuh tanpa sengaja.

Di Malaysia harga jualan Samsung Galaxy Z Flip5 ialah seperti di bawah dalam warna Mint, Lavender, Cream dan Graphite bermula 18 Ogos 2023. Warna Gray, Blue, Green dan Yellow pula hanya ditawarkan eksklusif menerusi kedai atas talian Samsung Malaysia.

  • Samsung Galaxy Z Flip5 (256GB) – RM4,499
  • Samsung Galaxy Z Flip5 (512GB) – RM4,999