Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan Malaysia telah menyumbangkan lebih RM80,000 iaitu lima peratus hasil kutipan melalui perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) dalam tempoh enam bulan dari Januari hingga Jun 2023 untuk memanfaatkan Tabung Amanah Pembiayaan Kos Rawatan, Ubat-ubatan dan Peralatan bagi Rawatan Pesakit Kanser Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat Pos Malaysia dengan bertujuan untuk membantu pesakit kanser yang kurang berkemampuan untuk
meneruskan rawatan mereka.
Dato’ Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, berkata, “Bagi tempoh 2012 hingga Jun 2023, Pos Malaysia telah menyumbang sebanyak RM708,783.56 dan sejumlah RM617,393.20 telah dibelanjakan untuk rawatan pesakit kanser dari seluruh Malaysia khususnya di Institut Kanser Negara dan Hospital Kuala Lumpur yang merupakan fasiliti kesihatan KKM rujukan utama bagi rawatan kanser.
Beliau menyambung, “Melalui sumbangan ini, pelbagai peralatan perubatan dibeli untuk
membantu pesakit kanser yang kurang berkemampuan. Antara peralatan perubatan yang dibeli ialah chemo port, oxygen concentrators, pleural & peritoneal indwelling catheters, infusion pump dan sebagainya.
Bagi Januari sehingga Jun 2023, sebanyak 360,922 bungkusan telah dihantar melalui perkhidmatan UMP. Hasil daripada perkhidmatan ini, sebanyak RM84,276.70 akan
disalurkan kepada Tabung Amanah.”
Perkhidmatan UMP telah dilancarkan pada tahun 2011 dengan menawarkan penghantaran ubat-ubatan susulan ke lokasi pilihan pesakit dalam lingkungan kawasan pungutan dan serahan PosLaju dengan bayaran yang minimum.
Perkhidmatan ini memberi kemudahan kepada pesakit untuk menerima bekalan ubat mereka terus di lokasi pilihan tanpa perlu ke fasiliti kesihatan KKM (hospital dan klinik kesihatan), sekaligus mengurangkan masa menunggu di fasiliti kesihatan KKM.
Perkhidmatan ini juga memastikan kesinambungan bekalan ubat susulan pesakit tanpa
gangguan dan meningkatkan tahap pematuhan pesakit terhadap pengambilan ubat-ubatan
mereka.
Zaini Yahman, Pengarah Operasi Pos Malaysia Berhad berkata, “Pos Malaysia amat berbangga kerana dapat memainkan peranan penting dalam memperkukuh usaha KKM untuk meningkatkan akses penjagaan kesihatan bagi setiap rakyat Malaysia melalui perkhidmatan UMP.