Lotus Cars Malaysia, pemegang tunggal francais kenderaan Lotus di Malaysia hari ini mengumumkan bahawa model Emira i4 First Edition dengan enjin 2.0 liter yang sangat
ditunggu-tunggu kini sudah dibuka untuk tempahan pada harga istimewa iaitu RM998,800, di atas jalan termasuk cukai.
Tawaran eksklusif untuk model Lotus terakhir yang dikuasakan oleh enjin ICE itu hanya sah untuk kenderaan tahun 2023 sebelum harga sebenar berkuatkuasa iaitu RM1,095,000 di Semenanjung Malaysia dan RM509,000 di pulau bebas cukai Langkawi.
Enjin empat silinder paling berkuasa daripada Lotus, jentera dengan konfigurasi enjin tengah dua tempat duduk itu mendapat prestasi luar biasa daripada enjin aluminium 2.0 liter turbo yang dipadankan bersama kotak gear klac berkembar (DCT) lapan kelajuan automatik yang diambil daripada Mercedes-AMG.
Pembangunan tambahan yang dilakukan oleh Lotus termasuklah sistem pengambilan udara dan ekzos baharu. Tidak ketinggalan satu kaliberasi khas untuk dipadankan dengan pemetaan penukaran gear baharu yang membolehkan enjin Emira i4 menjana kuasa sehingga 360bhp pada 6,600rpm dan tork 430Nm pada 3,000-5,500rpm.
Emira i4 bukan sahaja menyerlah dari segi prestasi – mampu mencapai kelajuan 0-100km/j dalam masa 4.4 saat dan pecutan maksimum 290km/j, malah ia boleh digunakan secara harian.
“Sebagai model terakhir Lotus yang dikuasakan oleh enjin petrol, Emira ialah sebuah model klasik masa depan. Berprestasi tinggi, dinamik luar biasa, suspensi yang ringan dan ditala penuh teliti, sistem stereng inovatif, bahagian luaran yang direka agar aerodinamik dam ruang kabin yang fokus kepada pemandu, semua ini digabungkan untuk memberikan pengalaman memandu sebuah kereta sports sebenar yang boleh diharapkan daripada sebuah Lotus,” kata Pengarah Urusan Lotus Cars Malaysia, Jack Zaal.
Kereta pertama pelanggan dijangka tiba pada November tahun ini. Sementara itu, mereka yang berminat untuk melihat Emira i4 dijemput datang ke Lotus Store di Level 3, Pavilion Kuala Lumpur di mana model Emira V6 yang mempunyai penampilan luaran dan dalaman sama ada dipamerkan.
Dibuka bermula 10am hingga 10pm setiap hari, bilik pameran butik itu menawarkan pengalaman tersendiri dengan Pakar Lotus yang sentiasa bersiap sedia dan konfigurator yang membolehkan pelanggan menambah spesifikasi kereta mereka.