UOB Malaysia mengumumkan perkongsian strategik dengan PETRONAS Dagangan Berhad dan anak syarikatnya, PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd.
Melalui Program Pembiayaan Peniaga dan Pengedar UOB, kerjasama ini bertujuan memperkasakan rantaian bekalan ekosistem untuk peniaga dan pengedar di bawah PETRONAS Dagangan dan PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) dengan menyediakan pembiayaan hujung ke hujung kepada lebih 1,000 peruncit tempatan.
Program ini diperkenalkan supaya peniaga dan pengedar dalam ekosistem mendapat akses kepada lebih banyak peluang pembiayaan. Ia menawarkan pembiayaan modal kerja dan perbelanjaan modal, serta jaminan bank dan penyelesaian pengurusan tunai untuk mengembangkan operasi pengedar dan kedai runcit mereka di seluruh negara.
Andy Cheah, Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borong, UOB Malaysia, berkata, “Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang kami kepada PETRONAS, kami berbesar hati membantu anak syarikatnya dalam mengukuhkan kemantapan pengurusan rantaian bekalan mereka.
Melalui penyelesaian inovatif dan komprehensif UOB, kami berupaya menyokong keperluan kewangan keseluruhan rantaian nilai PETRONAS Dagangan dan PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia). Kami tetap membuka peluang baharu selain menghubungkan syarikat-syarikat untuk berkembang di dalam dan di seluruh rantau ini.”
Khalil Jaffri Muhammad Muri, Ketua Pegawai Operasi, PETRONAS Dagangan Berhad, menambah, “Kami gembira dapat bekerjasama dengan UOB Malaysia, justeru memanfaatkan kepakaran kewangan mereka dalam menyediakan kestabilan dan keselamatan kewangan kepada rangkaian peniaga dan pengedar kami.
Kami percaya kerjasama ini bukan sahaja akan mengukuhkan perniagaan rakan kongsi kami, malah ia juga akan meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan, memastikan akses yang lebih mudah dan lebih baik kepada rangkaian tawaran kami.”
Di samping itu, peniaga dan pengedar PETRONAS Dagangan dan PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) di bawah Program ini akan meraih manfaat daripada pengurusan rantaian bekalan kewangan (FSCM) serta rangkaian penyelesaian berasaskan ekosistem UOB Malaysia.
Melalui keupayaan pengurusan tunai UOB Malaysia dan platform perbankan digitalnya – UOB Infinity¹, peniaga dan pengedar PETRONAS Dagangan dan PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) juga akan dilengkapi dengan keterlihatan dan automasi hujung ke hujung bagi keseluruhan rantaian bekalan kewangan mereka.
Encik Lucas Chew, Pengarah Eksekutif dan Ketua Negara Perbankan Transaksi, UOB Malaysia berkata, “Penyelesaian kami disasarkan untuk menangani masalah yang dihadapi perniagaan dan ekosistemnya, yang mana dengan sendirinya mungkin menghadapi cabaran memperoleh bantuan kewangan dan pengurusan tunai yang amat diperlukan untuk mengembangkan operasi mereka.
“Kami menubuhkan Program Pembiayaan Vendor UOB pada 2019 dengan kerjasama PETRONAS untuk menyediakan pembiayaan bagi rantaian nilai huluan mereka. Kami kini berharap untuk memberi sokongan yang sama kepada rantaian nilai hiliran mereka melalui Program Pembiayaan Peniaga dan Pengedar UOB yang akan terus memanfaatkan ekosistem PETRONAS di negara ini.”