Berikutan kejayaan enam bulan pertama tahun 2023, pengeluar kereta nasional PROTON meneruskan trajektori jualan meningkatnya pada bulan Julai dengan 13,326 unit (domestik + eksport) dijual.

Angka ini merupakan peningkatan sebanyak 16.1% berbanding bulan Julai 2022 dan membantu meningkatkan jualan tahun sehingga kini (YTD) kepada 90,647 unit. Ini juga merupakan tempoh masa yang paling singkat syarikat telah melepasi 90,000 unit sejak 2012 dan penambahan 26.6% berbanding tahun sebelumnya.

Pegangan pasaran bagi bulan Julai diramalkan pada 20.5%, dengan pegangan pasaran YTD kini pada 21%. Pencapaian PROTON berlatarbelakangkan peningkatan jualan automotif setelah jumlah volum industri (TIV) dianggarkan sebanyak 64,864 unit untuk bulan Julai.

Ini bersamaan dengan peningkatan 29.9% berbanding bulan yang sama pada tahun 2022 dan melonjakkan angka YTD sebanyak 12.9% berbanding tempoh yang sama tahun
lepas. Oleh itu, prestasi jualan PROTON sehingga bulan Julai tahun ini, kini mengatasi industri sebanyak 14%.

Proton X90

PROTON X90 mengambil alih kepimpinan jualan SUV segmen D di Malaysia

Walaupun kurang daripada tiga bulan penuh sejak pelancarannya pada 7 Mei 2023, tambahan ketiga kepada rangkaian SUV PROTON, Proton X90, telah menerajui jualan keseluruhan dalam segmen pasarannya.

Bagi bulan Julai, 886 unit jualan menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 2,225 unit dalam masa 86 hari sahaja dan meletakkannya di tangga teratas di antara pesaingnya. Bersama-sama dengan Proton X90, tiga lagi model Proton turut diiktiraf sebagai peneraju jualan YTD dalam segmen masing-masing.

Proton Persona telah mengalami peningkatan 107.1% dalam jumlah jualan bagi tahun 2023, yang melonjakkannya ke tangga teratas dalam jadual untuk jualan sedan segmen-B di Malaysia.

Dengan 1,953 unit terjual pada bulan Julai, nombor YTDnya kini berjumlah 14,533 unit dan berada di landasan untuk melebihi jumlah jualan tahun 2022 seawal akhir bulan Ogos tahun ini.

Tidak ketinggalan pula jualan Proton X50 yang bertambah sebanyak 2,630 unit untuk menjadikan jumlah jualannya bagi tahun ini meningkat ke 20,192 unit. Ini membolehkannya kekal sebagai peneraju jualan untuk SUV segmen-B dan walaupun ia menyerahkan gelarannya sebagai peneraju pasaran SUV keseluruhan pada bulan
Julai, jumlah YTDnya masih yang terbaik untuk semua SUV tanpa mengira segmen.

Proton Exora merupakan peneraju jualan segmen keempat bagi bulan Julai di mana 374 unit terjual menjadikan jumlah jualannya mencapai 2,741 unit. Ini adalah peningkatan sebanyak 13.1% berbanding tahun sebelumnya dan menunjukkan masih terdapat permintaan yang sihat di kalangan pembeli kereta Malaysia bagi MPV tujuh
tempat duduk yang luas dengan penanda prestasi Proton dan keseronokan pemanduan.