Qalbox daripada Muslim Pro, perkhidmatan penstriman hiburan yang terkenal dengan kandungan Islam yang pelbagai di peringkat global, berkolaborasi dengan Astro untuk menyiarkan kandungan yang berfokuskan Muslim secara eksklusif.

Sejajar dengan matlamat Muslim Pro untuk menjadi rumah digital bagi segala perkara yang berkaitan dengan Muslim, perikatan strategik ini menjadi detik penting dalam landskap hiburan negara.

Ia menawarkan pelanggan Astro pelbagai pilihan kandungan berfokuskan Muslim yang memperkaya untuk penonton di seluruh negara.

Dalam kolaborasi ini, Qalbox akan tersedia pada semua Astro Ultra dan Ulti Box sebagai tambahan, menawarkan rangkaian kandungan yang luas untuk komuniti Muslim.

Sebagai sebahagian daripada perkongsian strategik ini, pelanggan Astro yang memiliki Ultra/Ulti Box akan menikmati langganan percuma eksklusif Qalbox serta akses premium Muslim Pro selama dua bulan, bermula dari 27 Julai 2023 hingga 26 September 2023.

Kerjasama ini diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Bitsmedia, Nik Emir Din dan Fara Abdullah, bersama-sama dengan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Astro, Shafiq Abdul Jabbar, dan Pengarah Kandungan, Agnes Rozario pada hari ini.

Sejak penubuhannya, Qalbox yang boleh diakses dengan mudah di dalam aplikasi Muslim Pro, laman sesawang, dan TV, Muslim Pro telah menunjukkan komitmen yang mendalam untuk melabur dalam pasaran Malaysia secara konsisten.

Menyedari populasi belia Muslim yang mahir dalam teknologi di negara ini serta visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat teknologi bagi kandungan Islam,
Muslim Pro melancarkan Qalbox di Kuala Lumpur pada Disember 2022.

Kerjasama terbaru dengan Astro lebih mengukuhkan lagi komitmen Muslim Pro untuk berkhidmat bagi komuniti Muslim di Malaysia dengan meningkatkan aksesibiliti bagi pengguna.

Kerjasama ini membolehkan pengalaman yang lebih khusus dan lancar, memastikan kandungan yang berfokus kepada Muslim mudah diakses oleh khalayak yang lebih luas, dan memperkaya landskap hiburan di Malaysia.

“Kami sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Astro, penyedia hiburan terkemuka di Malaysia, untuk memperluaskan jangkauan Qalbox di kalangan penonton Malaysia,” kata Fara Abdullah, co-CEO Muslim Pro.

Melalui kerjasama ini, visi kami untuk memantapkan kedudukan kami sebagai pusat kandungan dan hiburan Muslim global dan menyediakan landasan bagi pencipta kandungan kreatif Muslim dan pembuat filem menjadi lebih kukuh.

Dengan tawaran kandungan yang pelbagai, kami yakin bahawa Qalbox akan menarik perhatian penonton Malaysia serta memberikan pengalaman hiburan yang tiada tandingan.