Memandu dan memiliki trak pikap Isuzu D-Max kini akan menjadi pilihan yang lebih selamat dan mudah memandangkan semua barisan model Double Cab telah dilengkapi ciri kamera undur sebagai standard.
Dengan penyertaan ciri ini, masuk ke ruang parkir tidak lagi sukar, terutama ketika membawa beban berat yang sentiasa menjadi kebolehan D-Max.
Sebelum ini, varian tertinggi seperti X-Terrain dan Premium telah dipasangkan dengan ciri
berkenaan sejak awal pengenalannya. Kini, versi 1.9-liter Standard juga menerima
kelengkapan yang sama untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan lebih
jaminan keselamatan dan bantuan ketika masuk ke ruang parkir.

“Sebagai trak pikap yang mempunyai kemampuan menakjubkan, Isuzu D-Max terus menjadi pilihan mereka yang bergantung dengannya untuk tugas harian yang sukar dan mencabar.
“Dengan menawarkan ciri tersebut sebagai memenuhi keperluan penggunaan, ia tidak hanya melindungi pelaburan mereka, malahan juga memastikan kenderaan bergerak dengan selamat dan boleh diharap,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.
Isuzu kini merupakan pengeluar pertama di Malaysia yang menyediakan kamera undur
sebagai ciri standard untuk semua model Double Cab dalam barisan trak pikapnya.

Kamera undur ini ditempatkan dengan kemas di sisi pemegang ruang barangan belakang dan memaparkan imej yang sangat jelas menerusi skrin sentuh tujuh-inci baru untuk
infotainment dalam model 1.9-liter Standard ini. Head unit ini juga siap dengan sambungan
Bluetooth, memudahkan capaian terhadap muzik dari telefon pintar.
Sebagai memenuhi keperluan peranti komunikasi peribadi, model 1.9-liter Standard kini
juga dilengkapi dengan dua slot USB di depan — Type A dan Type C, setiap satu — untuk
memudahkan lagi pengecasan peranti untuk penumpang.

Perbezaan luaran bagi model 1.9-liter Standard ialah pemegang pintu dan ruang barangan
belakang dalam warna badan, yang sebelum ini dalam warna perak.
Model 1.9-liter Standard yang dipertingkat ini juga boleh didapati sama ada dengan transmisi manual atau automatik enam-kelajuan dengan harga yang hanya sedikit lebih
mahal berbanding model sama sebelumnya: naik RM1,500. Harga jualannya bermula dari
RM 105,599.20 atas jalan tidak termasuk insuran di Semenanjung.









































