Meneruskan usaha mencapai matlamat jangka panjangnya untuk bergelar jenama automotif terunggul di Malaysia, pengeluar kereta nasional PROTON bekerjasama dengan AAPICO Hitech Public Company Limited (Aapico) menerusi subsidiarinya, Advance Vehicle Engineering Global Sdn Bhd (AVEE Global), untuk mengeluarkan komponen dan alat ganti seperti dies, jig, hot stamping, badan kenderaan dan casis.
Kerjasama berkenaan akan menyaksikan Aapico memegang sebanyak 60 peratus AVEE Global daripada PROTON manakala 40 peratus dimiliki PROTON dalam syarikat yang akan dinamakan semula sebagai Aapico Avee Sdn. Bhd.
Perkongsian berkenaan, yang telah dirasmikan pada 26 Jun 2023, akan menyaksikan Aapico, salah sebuah syarikat alat ganti kenderaan terbesar di Thailand, melaksanakan
pelaburan awal sebanyak RM40 juta ke atas kemudahan seluas 20 ekar AVEE Global.

Ia disusuli dengan perancangan untuk meluaskan lagi usaha sama berkenaan bagi memenuhi permintaan terhadap kenderaan PROTON dan keseluruhan sektor automotif yang semakin meningkat, yang membabitkan pelaburan sebanyak RM100 juta dalam perancangan 2024 dari segi peluasan kilang dan pemerolehan jentera baharu.
Kemudahan pembuatan sedia ada akan meningkatkan jumlah pengeluarannya dengan produk baharu yang kini dalam perancangan. Dengan pengalaman dan kepakaran luasnya,
Aapico akan menguruskan operasi dan memperkenalkan penggunaan teknologi baharu
untuk mengeluarkan alat ganti yang lebih berkualiti, menambah baik pengeluaran dan
menjimatkan kos.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Aapico Hitech Public Company Limited, Yeap Swee
Chuan, berkata, “Aapico mengambil peluang untuk menyertai sektor pembuatan alat ganti di Malaysia pada masa yang tepat, dengan perkembangan yang baik dijangka dalam industri automotif, diterajui oleh permintaan yang kukuh untuk kenderaan PROTON dan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang mantap.

“Kami berhasrat untuk membawakan kepakaran dan teknologi pembuatan dalam usaha sama ini dan menyediakan alat ganti bertaraf dunia kepada PROTON dan menyokong pelan perkembangan mereka di pasaran tempatan dan eksport.”
“Usaha sama dengan Aapico akan memberi manfaat kepada PROTON dengan membantu
syarikat dari segi pengoptimuman kos, kecekapan dan kualiti yang lebih baik dalam
pengeluaran kereta nasional kita.
“Memandangkan jumlah pengeluaran kami meningkat seiring dengan pelan perancangan model, kami akan terus berusaha untuk memastikan produk kami setanding dengan pesaing dari segi ciri-ciri serta kualiti dan pada masa yang sama, terus menawarkan jaminan keselamatan yang cemerlang daripada penggunaan teknologi seperti hot press forming,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, dan Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar, dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Aapico Hitech Public Company
Limited, Yeap Swee Chuan.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.







































