BMW Malaysia hari ini telah merungkaikan dua ahli baharu dalam famili jentera BMW 7 Series – BMW 750e xDrive M Sport dan BMW 750e xDrive Pure Excellence baharu, hadir dengan rangkaian pemacu bermuatkan pelbagai teknologi serba inovatif, dirumus untuk menjamin pengalaman pemanduan rendah karbon tanpa mengkompromikan prestasinya.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan, “Portfolio BMW 7 Series kami tampil dengan kenderaan-kenderaan baharu yang melambangkan kemewahan, prestij, serta aneka teknologi di aras yang tertinggi.

Susulan perungkaian BMW i7, iaitu sedan elektrik tulen kami yang sulung dalam kelas ini, kami membawakan BMW 750e xDrive M Sport dan BMW 750e xDrive Pure Excellence baharu – dua varian luar biasa yang membuktikan komitmen kami dalam membangunkan kenderaan berelektrik berprestasi tinggi di Malaysia buat para pelanggan setia kami.

“BMW 750e xDrive M Sport baharu mengetengahkan pelbagai elemen rekaan baharu yang serba sporty, sementara varian Pure Excellence lebih memfokuskan aspek kemewahan – terhad kepada 48 unit sahaja di Malaysia – namun kedua-duanya masih memaksimumkan unsur-unsur keelegenan, keselesaan, dan juga kemudahan.

“Kami yakin bahawa varian-varian ini akan menambah seri susur-susur jalan raya di Malaysia, merealisasikan janji Sheer Driving Pleasure kami di aras yang tertinggi dalam segmen ultra mewah.”

BMW 750e xDrive M Sport dan BMW 750e xDrive Pure Excellence menampilkan iras lampu
hadapan yang baharu dengan rekaan terbahaginya, diperkayakan dengan lampu hadapan BMW Iconic Glow berunsur kristal, serta gril ‘kidney’ dengan ciri iluminasi BMW Iconic Glow yang menyerlahkan bahasa rekaan kelas mewah yang baharu.

Varian-varian ini juga akan hadir dengan teknologi BMW eDrive generasi terkini bagi model-model PHEV, disinambungkan dengan sistem pacuan semua roda serba pintar BMW xDrive untuk kuasa maksimum.

Harga runcit bagi BMW 750e xDrive Pure Excellence baharu dan anggaran harga bagi BMW 750e xDrive M Sport baharu – kedua-duanya didatangkan dengan Pakej Servis dan Waranti Lanjutan 5 Tahun, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) – ialah:

BMW 750e xDrive Pure Excellence Baharu RM 649,800.00
BMW 750e xDrive M Sport Baharu RM 700,000.00