Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) melantik cabang pemasaran automotif DRB-HICOM, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) sebagai pengedar rasmi smart Malaysia.
Pelantikan EON sebagai sebahagian daripada keluarga smart Malaysia telah menambah jumlah pengedar elit yang dilantik oleh PRO-NET. Terdahulu, PRO-NET memeterai perjanjian dengan Hap Seng Smart manakala lima lagi pengedar baru bakal diumumkan kelak.
Kerjasama tersebut juga mampu meningkatkan kesedaran dan keterlihatan jenama EV di
kalangan pembeli kereta di Malaysia ke arah memperkenalkan pemenang anugerah – smart #1 pada suku ke-empat tahun 2023.
Sebagai salah satu pengedar pelbagai jenama terbesar negara yang mewakili jenama automotif terkenal termasuk PROTON, Audi, Mitsubishi dan Volkswagen, pelantikan EON mencerminkan komitmen PRO-NET untuk menembusi pasaran EV yang semakin rancak di Malaysia.

Perkongsian ini mempamerkan satu lagi pencapaian bersejarah bagi PROTON dan kumpulan anak syarikatnya sejak hampir empat dekad lalu, di mana syarikat itu dan EON mempelopori evolusi industri automotif Malaysia apabila EON dilantik sebagai pengedar kereta PROTON eksklusif dan yang pertama.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan jenama yang kukuh dan dipercayai di dalam industri automotif. PRO-NET yakin dengan pengetahuan dan pegalaman luas EON ditambah dengan capaian pelanggan DRB-HICOM yang sangat luas akan mewujudkan sinergi ideal yang mampu mendorong wawasan smart Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi perniagaan yang mempunyai prestasi cemerlang di dalam industri ini untuk memperkenalkan pelbagai produk, perkhidmatan dan pegalaman jenama premium,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.
“EON komited untuk menyumbang ke arah kejayaan perkongsian baharu ini. Kami diterajui oleh pasukan dinamik yang mempunyai pengalaman yang luas. Ia memberi kelebihan kepada kami untuk mewujudkan sinergi dengan smart Malaysia bagi memenuhi permintaan untuk smart #1 dalam usaha menghasilkan impak ketara kepada pasaran tempatan,’’ kata Akkbar Danial, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengedaran Automotif DRB-HICOM.





































