Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) baru-baru ini meraikan rakan-rakan pengedar yang menunjukkan prestasi terbaik dalam majlis Anugerah Terbaik 2022 (Dealer of the Year Awards) yang diadakan di The Westin Desaru Coast Resort, Johor.

Anugerah Pengedar Volkswagen mengiktiraf dan meraikan para pengedar dan kakitangan di atas pencapaian mereka dalam menyokong jenama Volkswagen di Malaysia sepanjang tahun 2022.

Acara berkenaan dihadiri oleh wakil-wakil daripada semua 17 pengedar dalam rangkaian Volkswagen di seluruh negara. Empat anugerah telah disampaikan di bawah kategori Pengedar Terbaik.

Penilaian dan pemarkahan kriteria itu dibuat berdasarkan kepada usaha pengedar dari segi jualan, pemasaran, selepas jualan, kepuasan pelanggan, pematuhan standard pengedar dan kelayakan tenaga kerja.

Prestasi pengedar tersebut dipantau bermula Januari hingga Disember 2022. Anugerah Pengedar Terbaik diberikan kepada Lee Motors Autohaus (Volkswagen Alor Setar). Lee Motors Autohaus sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Pengedar Terbaik 2021.

Penerima anugerah Pengedar Terbaik yang lain ialah:
– MHV Autohaus (Volkswagen Gombak) – tempat kedua
– Goh Brothers Motor (Volkswagen Juru) – tempat ketiga
– PHS Autohaus (Volkswagen Puchong) – kategori Das WeltAuto

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata “Kami berbesar hati untuk menyampaikan anugerah-anugerah ini kepada pengedar yang layak serta kakitangan mereka di atas prestasi luar biasa dari segi jualan serta perkhidmatan selepas jualan.”

Bakat-bakat dalam rangkaian Volkswagen juga dihargai serta diberi pengiktirafan di atas prestasi luar biasa mereka sebagai Pengurus Jualan, Perunding Jualan, Pengurus Selepas Jualan, Pengurus Alat Ganti, Penasihat Servis dan Juruteknik.

Mereka telah diuji dari segi pencapaian KPI secara kualitatif dan kuantitatif di dalam tahap serta jawatan berbeza. Antara kriteria yang dinilai termasuklah sasaran jualan dan selepas jualan, kepuasan pelanggan, pematuhan ke atas proses dan prosedur, menghadiri latihan
yang telah ditetapkan serta kelayakan.

Enam penerima anugerah Pencapaian Terbaik Keseluruhan ialah:

Chong Sze Yan dari WN Motorworld sebagai Pengurus Jualan Terbaik
Azharul Sham Hamsah dari MHV Autohaus sebagai Perunding Jualan Terbaik
Loh Sing Hoong dari MHV Autohaus sebagai Pengurus Selepas Jualan Terbaik
Muhammad Izzat Che Adnan dari Lee Motors Autohaus sebagai Pengurus Alat Ganti Terbaik
Soo Boon Hou dari Goh Brothers Motor sebagai Penasihat Servis Terbaik
Khairul Humaidi Shamsudin dari N3 Auto sebagai Juruteknik Terbaik

“Kami harap anugerah-anugerah ini akan menjadi penanda aras dan motivasi kepada rakan pengedar yang lain untuk turut sama menawarkan pengalaman terbaik kepada pelanggan. Tahniah kepada semua pemenang,” kata Erik.