Era pendidikan kini semasa dan selepas pandemik Covid-19 menyaksikan banyak berlaku perubahan termasuk membabitkan pentadbir sekolah dan guru-guru.

Perubahan itu bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di seluruh dunia seperti pembelajaran dan mesyuarat secara dalam talian.

Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dato Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, walaupun ianya agak sukar pada mula tetapi akhirnya ianya menjadi suatu yang memudahkan malah dapat menjimatkan masa, kos dan mudah serta cepat membuat sesuatu keputusan.

“Perubahan ini perlu dilalui oleh para pendidik dan dalam masa yang sama para pelajar juga begitu cepat menerima perubahan kerana persekitaran yang berubah disebabkan era digital sudah berlaku dibanyak tempat termasuk di negara ini yang kita lihat dahulu agak jauh ketinggalan,” katanya ketika memberi ceramah umum di perhimpunan pagi Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu mengenai pengalaman beliau selaku bekas penjawat awam, NGO Antarabangsa dan dalam negara, semalam.

Beliau berkata, Covid-19 meninggalkan kesan mendalam dihati kita semua kerana ramai juga dikalangan rakan-rakan kita yang meninggalkan kita jatuh tersungkur dalam perniagaan dan ada juga menghadapi pelbagai masalah yang sukar selain mereka ada yang terbeban dengan masalah tekanan hidup.

Beliau turut menyeru para pendidik untuk bangkit dan bersemangat untuk menaikkan semula imej pendidikan selepas era pandemik selain membantu sesama sendiri dalam mengenalpasti sebarang permasalahan.

Turut hadir hampir 400 orang yang terdiri dari pengetua, guru-guru kanan dan guru-guru didewan utama perkarangan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Muin Ngah.

Terdahulu, Pengerusi NGO Antarabangsa turut mengadakan pertemuan ringkas dengan Pengerusi Persatuan India Muslim Negeri Terengganu Tajuddin Mohamed Shabudin.

Beliau turut menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin dan menyeru semua rakyat Malaysia berdoa agar kekejaman Tentera Israel ke atas penduduk Palestin dapat dihentikan segera.