FamilyMart Malaysia mengumumkan FamiCafé di Menara U, Shah Alam telah mendapat pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menjadikannya kafe kedai serbaneka pertama di Malaysia yang menerima sijil halal.

Pensijilan halal ini selari dengan usaha berterusan FamilyMart Malaysia dalam memastikan
para pelanggan berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was dalam premis miliknya.

Kedai-kedai FamilyMart Malaysia akan menjalani audit halal secara berperingkat mengikut
panduan JAKIM, dan prosesnya telah bermula di dua kedai lain.

Selaras dengan perkembangan ini, FamilyMart Malaysia telah menghentikan penjualan
alkohol di semua kedai bagi memberikan keyakinan tambahan untuk para pelanggan
berbelanja tanpa kegusaran.

Sebagai sebahagian daripada inovasi berterusannya untuk mengembangkan semangat
konbini bagi memenuhi gaya hidup dan keperluan pelanggan, FamilyMart akan
memperkenalkan konsep FamiCafé seperti yang terdapat di Menara U di semua kedai.

Konsep yang disahkan halal ini menyajikan minuman kafe dan makanan yang tersedia untuk dimakan yang disiapkan di dalam kedai. Ini termasuk makanan kegemaran sepanjang masa seperti oden, snek panas seperti chiki katsu rangup dan sosej (corndog), serta sofuto.

Sehingga kini terdapat 16 FamiCafé di Malaysia, dengan sasaran untuk membuka 50 FamiCafé menjelang akhir tahun 2023. Semua FamiCafé serba baharu akan mengadaptasi susun atur yang disediakan JAKIM, manakala stor sedia ada akan diubah suai untuk tujuan sama. FamilyMart Malaysia menyasarkan status halal untuk 300 FamiCafé menjelang tahun 2025.

Untuk terus menambah keselesaan, FamiCafé FamilyMart di Menara U juga mempunyai kiosk layan diri, membolehkan pelanggan memesan produk menggunakan e-dompet atau kad kredit kegemaran masing-masing. Pelanggan bebas untuk melihat barangan lain sementara pesanan disiapkan.

Kiosk layan diri akan diperkenal di FamiCafé yang lain secara beransur. Pusat penyediaan makanan FamilyMart Malaysia yang dikendalikan oleh QL Kitchen telah diiktiraf halal oleh JAKIM sejak 2019. Setakat 30 April 2023, 172 produk makanan jenama FamilyMart didaftarkan halal di portal halal rasmi JAKIM.