BMW Motorrad Malaysia hari ini telah mendedahkan dua motosikal jelajah baharu daripada portfolio BMW K 1600, iaitu BMW K 1600 GT dan BMW K 1600 GTL yang baharu, menjanjikan pengalaman jelajah yang dinamik lagi mewah buat para pelanggan BMW Motorrad serta peminat jentera beroda dua di Malaysia.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Sudah lebih sedekad kami membawa jentera enam silinder yang handal dan juga mewah di aras yang tertinggi melalui model-model BMW K 1600.

Kini, sementara masih berpegang kepada seni reka bentuknya yang asal, kami berasa amat teruja untuk mempersembahkan ciri-ciri kefungsian eksklusif yang baharu untuk BMW K 1600 GT dan BMW K 1600 GTL.

BMW K 1600 GT dan BMW K 1600 GTL hadir dengan ciri-ciri kefungsian yang dikemas kini, membawakan pendekatan baharu kepada bahasa reka bentuknya yang menawan, sambil mengekalkan pengalaman tunggangan serba mewah yang dijanjikan motosikal ini.

Menampilkan enjin sebaris enam silinder yang paling langsing dalam produksi bersirinya, varian-varian baharu ini mempersembahkan karakter dan keupayaan jentera jelajah yang luar biasa, digandingkan dengan prestasi yang paling cemerlang dalam segmennya.

BMW K 1600 GT khususnya merupakan varian yang tangkas dan dinamik, dilengkapi dengan lampu hadapan LED yang telah dinaik taraf sepenuhnya yang mencahayakan jalan yang terbentang di hadapan tanpa mengkompromikan aspek keselamatan mahupun keselesaan.

BMW K 1600 GTL pula dirumus khas untuk menyempurnakan pengalaman tunggangan yang dikongsi oleh dua individu. Ini dibuktikan dengan ciri dinamisme dan keselesaannya yang lebih hebat, memudahkan ia dinaiki oleh dua orang individu dengan begitu selesa.

Harga runcit (atas jalan, dengan Waranti 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) bagi BMW K 1600 GT dan BMW K 1600 GTL baharu ialah:

BMW K 1600 GT Baharu RM 174,500.00
BMW K 1600 GTL Baharu RM 183,500.00