Kemasukan jenama kereta nasional PROTON ke dalam pasaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) terus mendapat momentum apabila ahli pengurusan kanannya menghadiri pelancaran global smart #3 di Auto Shanghai 2023.
Model coupe utiliti sukan itu, EV baharu kedua smart selepas #1, dijangka membuat penampilan pertamanya di Eropah akhir tahun ini sebelum penjualan bermula.
PROTON ialah pengimport dan pengedar rasmi untuk jenama smart di Malaysia dan Thailand, satu jawatan yang disandang melalui anak syarikatnya PRO-NET, dan akan melancarkan tawaran pertamanya smart #1 di Malaysia pada suku keempat tahun 2023.

Ini akan diikuti oleh smart #3, yang akan mula dijual di China dan Eropah sebelum menuju ke pasaran lain seperti Malaysia.
“PROTON akan memasuki pasaran NEV di Malaysia tidak lama lagi menyahut seruan kerajaan untuk memajukan negara menjadi hab serantau untuk kenderaan generasi akan datang (NxGV).
“Langkah pertama kami ialah melancarkan Proton X90 berkuasa hibrid ringan diikuti dengan pengenalan smart #1. Bagaimanapun, berikutan pemeteraian dokumen Perjanjian Pendahuluan dengan Geely awal bulan ini dan seterusnya lawatan Menteri MITI ke kilang pintar Zeekr, kami mempertimbangkan untuk mempercepatkan pengenalan model kami,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON, dan Pengerusi, PRO-NET.
Sementara itu, persiapan sedang dibuat untuk pelancaran smart #1 yang akan datang. Media terpilih telah menjalani sesi pandu uji terhad di landasan ujian PROTON dan banyak lagi sesi pratonton untuk media serta orang awam akan dirancang sebelum penjualan bermula.

“Memandangkan ia akan menjadi model EV pertama kami, terdapat banyak bidang yang memerlukan perancangan rapi sebelum melancarkan smart #1. Kami telah merekrut pengedar, sedang mengusahakan penyelesaian pengecasan, dan juga mempertimbangkan cara baharu dan inovatif untuk menyampaikan pengalaman jenama selaras dengan nilai teras jenama smart.
“Akhirnya, kami membayangkan PRO-NET menjadi pemacu utama model EV di PROTON, bermakna kami juga akan menambah jumlah model smart di Malaysia pada masa hadapan.

“Sumber kami tertumpu sepenuhnya untuk memastikan pengenalan pasaran #1 yang lancar dan pelanggan akan menerima sokongan yang diharapkan oleh pembeli produk EV premium,” kata Dr Li Chunrong.




































