Laporan tinjauan ESG tahunan yang pertama oleh Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) bertajuk “Gambaran ESG dari PKS Malaysia: Membina Masa Depan Bersama yang Lebih Baik” menunjukkan bahawa tiga daripada lima perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia percaya bahawa menerapkan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance, ESG) dalam perniagaan mereka akan mencipta nilai jangka panjang, membina tenaga kerja yang kukuh dan menambah peluang
perniagaan.

Kajian ini ditauliahkan secara bersama dengan Rangkaian Kompak Global PBB Malaysia dan Brunei (UNGCMYB) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) untuk memberikan gambaran tentang kesedaran, penerimaan dan cabaran PKS dalam mengintegrasikan faktor ESG dalam amalan perniagaan di Malaysia.

Kajian dibangunkan menggunakan tiga pendekatan – temu bual secara mendalam, tinjauan berskala besar meliputi 610 PKS dan penyelidikan sekunder.

Kellee Kam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank berkata, “Sebagai sebuah bank yang mempunyai hubungan yang sudah sekian lama terjalin dengan sektor PKS, kami memahami cabaran unik yang dihadapi oleh perniagaan.

Di peringkat tempatan, terdapat kekurangan rangka kerja dan maklumat berkaitan PKS yang boleh membantu perniagaan kecil dalam perkembangan ESG mereka.

Berdasarkan perkara ini, kami melancarkan kajian bagi merapatkan jurang dalam pasaran. Kami harap penemuan penting serta cadangan dan alat kami berguna untuk PKS yang mahu memulakan atau meningkatkan perjalanan ESG mereka.”

Tinjauan ini dilancarkan sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘BeESG’ Alliance Bank untuk
menggalakkan amalan yang lebih mampan dalam kalangan perniagaan. Penemuan kajian
diharapkan dapat menggalakkan perniagaan untuk mengambil peluang menjadikan amalan ESG sebagai sumber kelebihan daya saing dan tidak melihat ESG hanya sebagai satu senarai periksa pematuhan semata-mata.

Menurut kajian, pengguna ESG menyatakan bahawa peningkatan produktiviti, penjimatan kos dan reputasi jenama sebagai penggalak utama untuk memasukkan amalan ESG dalam strategi mereka.

Bagi bukan pengguna ESG pula, tiga tema utama keengganan mereka untuk mengamalkan ESG telah dikenal pasti – ketidakpastian tentang impak ESG, pengetahuan yang terhad tentang ESG dan kekangan kewangan. Walau bagaimanapun, kumpulan PKS ini menyatakan bahawa sokongan kewangan oleh bank, peluang latihan dan pembelajaran secara tajaan serta insentif cukai akan memudahkan mereka untuk menerima ESG.

Kellee Kam menambah, “ESG merupakan faktor penting dalam strategi perniagaan Alliance Bank. Penyelesaian yang kami tawarkan direka mengikut keperluan pelanggan berdasarkan pengetahuan bidang yang mendalam.

Ini membolehkan kami menyusun penyelesaian yang lebih peribadi. Dalam usaha kami menjadi bank untuk komuniti, kami mahu menyokong dan memberi panduan dan
penyelesaian inovatif bagi membantu pelanggan menerima amalan mampan untuk memiliki daya saing dan kekal relevan.