Maxis telah bekerjasama dengan Ideal Property Group, pemaju hartanah terkemuka di Pulau Pinang, untuk membawa kesalinghubungan fiber ke kediaman dan perniagaan.

Melalui perkongsian ini, Maxis memanfaatkan binaan fibernya sendiri untuk memberikan pengalaman internet yang unggul dan tawaran fiber yang menarik bagi pembangunan bercampur di Pulau Pinang serta Butterworth.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Maxis akan mereka bentuk, membekal dan
memasang infrastruktur telekomunikasi untuk perkhidmatan tetap dalam 12 projek komersial serta kediaman yang terdiri daripada 12,000 premis perniagaan dan kediaman.

Perkongsian ini mewakili kerjasama berterusan Maxis dengan pemaju hartanah di negara ini dalam menyediakan penyelesaian jalur lebar dan kesalinghubungan berkelajuan tinggi.

“Sebagai penyedia kesalinghubungan konvergen yang terkemuka, Maxis berbesar hati untuk bekerjasama dengan Ideal Property Group. Melalui rangkaian, keupayaan dan tawaran fiber kami yang menarik, terdapat peluang besar untuk perkhidmatan digital bagi lebih banyak kediaman serta perniagaan,” kata Claire Featherstone, Pemangku Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan.

“Kesalinghubungan hari ini telah menjadi aspek penting dalam kehidupan dan kerja kita, dan kami komited untuk membangunkan lebih banyak kediaman serta perbandaran yang terhubung untuk memenuhi gaya hidup digital pelanggan kami.

“Keupayaan Maxis dalam infrastruktur dan perkhidmatan rangkaian semestinya akan menambah nilai kepada perbandaran kami. Perkongsian ini merupakan langkah penting demi merialisasikan visi kami untuk menjadi pemaju hartanah bertaraf dunia,” kata Tan Sri Datuk Alex Ooi Kee Liang, Pengerusi Eksekutif, Ideal Property Group.

Taman Teknologi Pulau Pinang@Bertam dan Penang International Exchange 1 & 2 adalah antara pembangunan komersial di mana Maxis akan menjadi salah satu penyedia kesalinghubungan utama di bawah perjanjian itu. Taman Teknologi Pulau Pinang@Bertam
dijangka membawa masuk pelabur yang berpotensi untuk industri seperti semikonduktor,
peranti perubataan, aeroangkasa dan lain-lain.