Samsung baru-baru ini memperkenalkan dua peranti baharu dalam siri Galaxy A sebagai pengganti kepada siri A terdahulu dengan beberapa penambahbaikan menerusi model Samsung Galaxy A54 5G dan Galaxy A34 5G.

Prebiu.com sekali lagi terpilih menjadi antara media pertama oleh Samsung Malaysia untuk menguji peranti pintar inovatif Galaxy A54 ini sebelum dilancarkan secara rasmi kepada umum.

Apa yang menarik pada peranti terbaharu dalam keluarga Galaxy A ini? Dalam ulasan sisi pandang pertama pada peranti ini ialah rekaan luaran dan spesifikasi lebih kepada ciri yang dinaik taraf daripada model A53.

Tambahan terkini kepada siri Galaxy A yang popular ini membolehkan pengguna merakam video yang mantap, menatap kandungan paparan dengan jelas walaupun dalam keadaan pencahayaan yang terlampau terang.

Selain itu, hayat bateri peranti ini sebesar 5000 mAh juga menjangkaui tempoh penggunaan lebih daripada dua hari.

Rekaan Kamera Baharu

Seakan menjadi satu ciri standard kepada Samsung apabila rekaan lensa kamera belakang model Siri A kali ini seakan sama dengan rekaan pada model Samsung Galaxy S23 tanpa sebarang bingkai sebagaimana model A53 terdahulu.

Bagi penulis, rekaan luaran semua telefon pintar hampir sama cuma membezakannya adalah spesifikasi yang ditawarkan. Tentu sekali jurutera Samsung sudah melakukan terbaik untuk menghasilkan peranti mampu milik Galaxy A54 ini pada harga bawah RM2,000.

Ciri kamera dipertingkatkan

Samsung Galaxy A54 dilengkapi ciri tri-kamera belakang gabungan 12MP + 5MP +  50MP, sementara kamera swafoto 32MP (f/2.2). Konfigurasi kamera pada peranti ini ialah 50MP (f/1.8) – (Utama); 12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar); 5MP (f/2.4) – (Kedalaman) dan 5MP (f/2.4) – (Makro)

Kamera utamanya disokong oleh OIS (optical image stabilization) dan zoom digital sehingga 10 kali ganda.

Tidak kira siang atau malam, peranti ini menawarkan pakej kamera yang lebih baik sekali gus menghasilkan imej yang menakjubkan dengan kualiti yang dipertingkatkan, dengan menggunakan keupayaan Nightography dan AI terkemuka Samsung Galaxy.

Sama ada untuk rakaman swafoto yang sempurna atau bersambung melalui panggilan video yang tersangat lancar, Galaxy A54 menawarkan perincian visual yang menakjubkan menerusi kamera hadapan 32MP.

Telefon pintar baharu ini juga menghasilkan video berkejelasan tinggi untuk rakaman kandungan yang hebat. Dengan menggunakan penstabil imej optikal (OIS) dan penstabil imej digital video (VDIS) yang mampu mencegah kekaburan akibat gegaran, pengguna boleh menghasilkan kandungan yang hebat dengan penuh keyakinan.

Menerusi sensor yang dipertingkatkan, mengambil gambar dalam suasana pencahayaan malap, mod Malam membantu merakam visual yang lebih terperinci dengan memperluaskan saiz piksel kamera.

Buat julung kalinya, untuk peranti dalam siri Galaxy A, pengguna juga boleh menghapuskan bayang-bayang dan pantulan yang tidak diingini dalam rakaman dengan menggunakan alat penyunting imej yang dipertingkatkan.

Rekaan Kontur Badan

Pada pandangan mata kasar penulis, kemasan pada peranti yang berukuran 158.2 x 76.7 x 8.2 mm ini lebih ringkas dan minimalis bersama penggunaan satu tona warna penuh secara menyeluruh seakan sebuah peranti untuk golongan muda yang aktif.

Walaupun kelihatan ringkas, kemasan licin pada bahagian belakang yang digunakan nampak premium dan tidak mudah meninggalkan kesan cap jari atau mudah kotor.

Peranti seberat 202 gram ini ditawarkan dalam empat pilihan warna berbeza yang menarik – iaitu Awesome Lime, Awesome Violet, Awesome Graphite dan Awesome White. Memang Ohsemkan!

Susun atur butangnya adalah standard dimana, butang kuasa dan laras suara hanya diletakkan pada bahagian sisi kanan manakala terdapat satu lubang mikrofon dan slot untuk SIM pada bahagian atas.

Ruangan ini menyokong slot dwi-sim namun ia direka berasaskan hibrid melalui slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2).

Peranti ini disambungkan dengan port USB-C pada bahagian bawah dengan lubang mikrofon dan juga pembesar suara. Lebih menariknya di sini, pembesar suaranya adalah stereo dengan sokongan Dolby Atmos. Bagaimanapun, untuk peranti terbaharu ini tiada lagi bicu audio dibekalkan malah tiada juga kepala pengecas disertakan.

Spesifikasi 

Samsung Galaxy A54 5G hadir dengan skrin bersaiz 6.4 inci Super AMOLED FHD+ (1080 x 2340), Infinity-O Display dan kadar segar semula 120 Hz.

Kapasiti storan adalah yang terbesar diberikan iaitu 256GB dan turut disediakan kemudahan untuk tambahan slot kad storan sehingga 1TB.

Untuk spesifikasi dalaman, Samsung Galaxy A54 menggunakan cip pemproses baharu Exynos 1380 dengan 5nm. Konfigurasi teras terdiri daripada 4 X 2.4 GHz Cortex-A78 dan 4 x 2.0 GHz Cortex A55 dengan GPU Mali-G68 MP5.

Harga pasaran

Samsung Galaxy A54 5G yang baru diperkenalkan di pasaran negara ini ditawarkan pada harga RM1,899 untuk 8GB RAM/256GB storan dalam empat warna menarik iaitu Awesome Peach, Awesome Blue, Awesome Black dan Awesome White.

* Nantikan ulasan lebih mendalam Samsung Galaxy A54 5G