eKelas, program komuniti utama Maxis, bertujuan untuk meningkatkan prestasi akademik
pelajar dari luar bandar.
Sebagai inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah untuk pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5, program ini membawa pembelajaran dengan cara yang menyeronokkan dan menyediakan akses kepada kandungan pendidikan yang berkualiti, selaras dengan Sukatan Pelajaran Malaysia.
Bertumpukan kepada Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, pelajar eKelas didedahkan kepada pembelajaran berasaskan gabungan tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital melalui portal dan aplikasi eKelas.

Maxis dengan sukacitanya mengumumkan bahawa ia telah melancarkan portal dan aplikasi
mudah alih eKelas yang dipertingkatkan. Kedua-dua platform kini mempunyai antara muka
yang mesra pengguna dengan ciri-ciri baharu, termasuk cadangan pembelajaran yang
diperibadikan dengan analisis prestasi, pengalaman pembelaran yang digamifikasi dengan
cabaran harian serta sistem ganjaran.
Pada masa yang sama, eKelas telah memperkenalkan dua subjek baharu di platform tersebut – Bahasa Malaysia dan Sejarah – untuk pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.
“Dunia digital hari ini membolehkan pelajar memanfaatkan teknologi dan internet untuk
mendapat pengetahuan berdasarkan permintaan. Kami ingin terus memperbaiki pengalaman mereka, dan portal serta aplikasi yang dipertingkatkan ini tentunya akan menjadikan pembelajaran digital lebih menarik.

Aspirasi kami adalah untuk menjangkau lebih ramai pelajar demi menyediakan kandungan akademik bagi pembelajaran kendiri,” kata Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis.
Aplikasi mudah alih eKelas membolehkan pelajar belajar dengan mudah dan fleksibel di mana-mana sahaja. Dengan peningkatan baharu ini, pelajar juga boleh menyertai kempen-kempen eKelas, seperti Pertandingan HIP English StoryFest dan Cabaran STEM Misi Jelajah Digital melalui aplikasi mudah alih secara langsung. Permohonan untuk Anugerah Gemilang, skim geran pelajar bagi mereka yang mencatatkan peningkatan gred, juga boleh dihantar melalui aplikasi tersebut.
Pada majlis yang diadakan di Menara Maxis, lebih 60 pelajar dari pelbagai sekolah, guru dan ibu bapa serta pemenang pertandingan eKelas HIP English Storyfest dan STEM hadir untuk menerima hadiah mereka serta menyertai aktiviti yang menyeronokkan, termasuk bengkel bercerita dan aktiviti STEM yang ekslusif.
Pemenang pertandingan telah dianugerahkan peranti baharu untuk membantu mereka dalam pembelajaran digital.







































