PPB Properties yang merupakan divisyen hartanah PPB Group Berhad, telah melancarkan Lumina Bedong, perbandaran pertama Bedong, yang bakal menghidupkan semula komuniti, mengubahnya menjadi satu perbandaran kontemporari dan meriah.
Perbandaran yang terletak di atas tanah pegangan bebas seluas 228 ekar ini, menampilkan kira-kira 1,500 unit rumah teres mampu milik dan dibina secara strategik dengan pelbagai kemudahan, serta komponen komersial dan kemudahan rekreasi.
Apabila siap, perbandaran itu akan menempatkan taman seluas 5.6 ekar yang merupakan taman rekreasi terbesar di kawasan tersebut. Ia memberikan peluang kepada penduduk untuk merasai kemudahan komuniti seperti trek berjoging dan berbasikal, laluan refleksologi dan kawasan permainan kanak-kanak.
Sebagai sebahagian daripada Fasa 1, PPB Properties akan melancarkan 221 unit rumah teres 1.5 tingkat dan 1 tingkat. Pusat tumpuan rumah kediaman ini ialah taman seluas 2.3 ekar dengan pelbagai kemudahan, termasuk gelanggang futsal, denai joging, gimnasium terbuka dan tanah permainan kanak-kanak, sesuai untuk keluarga.
Perbandaran itu juga akan terfdiri daripada hab komersial seluas 23 ekar, menjadikannya pembangunan komersial terbesar dalam kawasan tersebut.
Hab komersial ini merangkumi peruncitan dengan tawaran yang pelbagai sesuai untuk orang dewasa yang bekerja, keluarga dan kanak-kanak. Di samping memberikan kemudahan kepada penduduk, ruang ini akan memacu perniagaan baharu, peluang pekerjaan untuk masyarakat dan menarik orang ramai ke Bedong.
“Dengan pembangunan Lumina Bedong, kami bersedia untuk merancakkan semula dan mengubah landskap Bedong. Kami berharap dapat memacu landskap sosio-ekonomi kawasan itu melalui komponen kediaman, komersial dan rekreasi kami,” kata Low Eng Hooi, Ketua Pegawai Eksekutif PPB Properties.
“Kami yakin bahawa Lumina Bedong akan berkembang menjadi sebuah perbandaran yang meriah pada masa hadapan, menjadikannya lokaliti utama di Kedah,” kata Low.
Perbandaran ini mempunyai laluan yang mudah untuk ke pusat bandar Bandar Sungai Petani. Ia terletak secara strategik di sepanjang jalan utama Alor Setar-Sg Petani, dengan pelbagai kemudahan berdekatan seperti sekolah, unit perniagaan dan Econsave pertama di Bedong. Lumina Bedong mempunyai anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM900 juta; sasaran siap pada tahun 2035.



































