AirAsia X (AAX), syarikat penerbangan tambang rendah jarak sederhana terkemuka di Asia hari ini menyambung semula perkhidmatan yang telah lama ditunggu-tunggu ke laluan pertamanya iaitu Gold Coast, Australia, selepas lebih dua tahun berikutan pandemik.

Penerbangan sulungnya telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) pada jam 11.25 malam waktu tempatan dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gold Coast pada jam 9.25 pagi waktu tempatan.

Sempena penyambungan semula perkhidmatan ke bandar persisiran pantai itu, para tetamu diraikan dengan meriah sebelum menaiki pesawat dan semasa ketibaan.

Gold Coast ialah destinasi keempat syarikat penerbangan itu di Australia. Penyambungan semula perkhidmatan ini memperkukuh kedudukan AAX sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka yang menghubungkan Australia ke destinasi utama Asia dan satu-satunya syarikat penerbangan yang terbang terus antara Malaysia dan negeri Queensland.

Satu sidang media telah diadakan di Lapangan Terbang Gold Coast untuk meraikan acara penting itu yang dihadiri oleh Stirling Hinchliffe, Menteri Pelancongan, Inovasi dan Sukan Queensland; Amelia Evans, Ketua Pegawai Eksekutif Queensland Airports Limited; Karen Bolinger, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Destination Gold Coast; Dato’ Fam Lee Ee, Lembaga Pengarah AirAsia X; dan Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X serta pihak berkepentingan lapangan terbang dan pelancongan utama lain.

Menteri Pelancongan Stirling Hinchliffe berkata AirAsia X diramal menjana AUD45.6 juta untuk ekonomi pelancongan Gold Coast.

“Perkhidmatan terus dari Kuala Lumpur ini telah disokong oleh Kerajaan Palaszczuk bernilai AUD200 juta dengan kerjasama Lapangan Terbang Gold Coast.

“Kami menyokong AirAsia X kerana mereka komited untuk meningkatkan jadual penerbangan ke Gold Coastnya kepada lima hari seminggu menjelang akhir tahun ini.

“AirAsia X merupakan pelaburan hebat dalam ekonomi pelancongan Gold Coast dan perkhidmatan ini akan menyokong 450 peluang pekerjaan di Queensland.

“Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan pelancong Malaysia kembali ke Queensland untuk menikmati gaya hidup hebat dan pengalaman percutian bertaraf dunia di Gold Coast,” tambah Stirling Hinchliffe.