Kejohanan badminton Sentosa Care 2023 di sambut meriah dengan kehadiran lebih 80 orang peserta dari pelbagai kelab badminton di sekitar daerah Bentong.
Kedatangan Ahli Parlimen Bentong, YB Young Syefura Othman dan pemain badminton negara, Goh V Shem turut memeriahkan lagi kejohanan. Perlawanan berlangsung selama 2 hari yang bertempat di Pusat Belia Bentong dan Dewan Badminton Chamang.
Gimik perasmian telah disempurnakan oleh YB Young Syefura dan Goh V Shem dengan perlawanan badminton sebanyak 5 mata bersama wakil-wakil dari setiap kelab badminton yang menyertai.
Turut serta bagi gimik perasmian ialah Puan Maisarah Omar (RCEO KPJ Central 1), Puan Zaiton Sulaiman (CEO KPJ Sentosa KL) dan Dr Theeban (Pengarah Hospital Bentong).
“Saya dapat merasakan kemeriahan pada hari ini dan berterima kasih kepada KPJ Sentosa KL atas anjuran sukan sebegini di Bentong. Saya berharap pada kejohanan akan datang, lebih ramai peserta yang menyertai”, kata YB Young Syefura.
YB Young Syefura bersama Goh V Shem ketika gimik perasmian
Perlawanan yang mempertaruhkan konsep permainan beregu campuran, veteran, terbuka dan perseorangan menutup tirai dengan keputusan CWBC diumumkan sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3000 beserta beg raket perlawanan tajaan FELET.
Manakala Thunderstorms BC merangkul gelaran naib johan dan diikuti oleh Raub United dan lain-lain.
Razif, wakil dari Thunderstorms BC berkata, kejohanan pada kali ini begitu meriah dan hadiah yang ditawarkan sangat menarik. Tambahnya lagi, ada pemain-pemain yang sanggup datang dari KL dan sekitar Pahang untuk sertai kejohanan ini.
Pihak KPJ Sentosa KL berharap dapat menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan serta turut berterima kasih kepada Pru-Techno Wealth Planner Sdn Bhd, FELET, CWBC serta Pejabat Ahli Parlimen Bentong di atas kerjasama sepanjang kejohanan diadakan.