Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan 22/3 hingga 46/3, Bandar Mahkota Cheras, Selangor, pada pagi ini mengadakan Majlis Gotong-Royong yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Lim Kim Eng.
Keadaan cuaca yang cerah menyaksikan kira-kira lebih 60 penduduk hadir pada majlis yang bermula pada jam 9 pagi dan berakhir kira-kira jam 12 tengahari.
Penduduk yang hadir dijamukan dengan sarapan pagi iaitu nasi lemak sebelum masing-masing dibekalkan dengan sarung tangan, penyapu, parang dan peralatan berkaitan.
Ahli Majlis MPKJ, Lim Kim Eng dalam ucapan perasmiannya berkata, gotong-royong ini adalah satu acara yang penting dan dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan penduduk taman ini.
“Saya sangat gembira apabila diberitahu bahawa persatuan ini akan mengadakan majlis ini kerana ia dapat meningkatkan kerjasama dan menanamkan sifat tanggungjawab untuk menjaga kebersihan taman ini.
“Gotong-royong atau tugas membersihkan kawasan harus menjadi tanggungjawab bersama dan tidak harus dibebankan kepada AJK persatuan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, isu yang sering dihadapi semua penduduk di kawasan Kajang ialah masalah sampah haram kerana ia berlaku disebabkan masalah atau sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri sahaja.
Pada majlis gotong-royong itu, beliau turut dibawa melihat kawasan sekeliling taman dan antara masalah yang diberitahu penduduk ialah taman permainan kanak-kanak yang sudah usang, masalah tanah runtuh yang menyebabkan saliran longkang tersumbat dan keadaan tar jalan raya yang memerlukan penyelenggaraan semula.
“Saya akan bantu menyuarakan masalah penduduk ini kepada MPKJ dan pihak yang berkaitan. Saya harap penduduk ini dapat bersabar dan saya cuba sedaya upaya bantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Saya juga berbesar hati ingin mengumumkan sumbangan RM2,000 kepada persatuan penduduk ini untuk menjalankan lebih banyak aktiviti kepada penduduk sekitar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan 22/3 hingga 46/3, Bandar Mahkota Cheras, Peter Loo berkata, majlis gotong-royong ini dirancang sejak dua bulan lalu dan gembira akhirnya ia dapat dijalankan dengan sambutan baik daripada penduduk setempat.
Beliau dalam ucapannya berharap, penduduk dapat terus memberikan sokongan kepada aktiviti yang dijalankan dan dirancang pada masa depan.
“Kami berasa bangga dan bertuah dengan kehadiran ahli MPKJ, Lim Kim Eng, yang sudi datang ke majlis ini meskipun beliau sentiasa sibuk. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk yang dapat meluangkan masa hadir untuk bersama-sama membersihkan kawasan sekitar taman ini.
“Kebersihan adalah tanggungjawab kita bersama dan diharapkan semua penduduk dapat bersama-sama menjaga kebersihan di sekeliling kawasan perumahan bagi mengelakkan pembiakan nyamuk atau haiwan berbisa,” katanya.
“Saya bagi pihak ahli jawatankuasa (AJK) Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan amat berterima kasih dengan kehadiran penduduk pada majlis ini dan kami juga merancang mengadakan program-program lain pada masa depan seperti ceramah kesihatan, dan sebagainya,” katanya lagi.
Jom kita lihat gambar-gambar menarik sekitar Majlis Gotong-Royong anjuran Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan 22/3 hingga 46/3, Bandar Mahkota Cheras dibawah ini.