Perodua telah melancarkan model generasi baharunya, Perodua Axia Serba Baharu dengan 2,900 pelanggan dijangka akan menerima kereta baharu mereka dalam masa terdekat.

“Dengan pelancaran Perodua Axia Serba Baharu, fokus kami (untuk model baharu ini)
terbahagi kepada dua iaitu memaksimumkan penghantaran kepada para pelanggan kami
dan menukar tempahan Axia generasi sebelumnya kepada Axia Serba Baharu,” kata
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Beliau berkata, daripada 44,000 tempahan sedia ada, Perodua dapat meyakinkan 13,600
pelanggannya untuk menukar kepada model terbaharu.

Digabung dengan lebih 6,500 tempahan baharu (sejak 31 Januari 2023), syarikat kereta kompak itu mempunyai jumlah tempahan sebanyak 20,100 unit.

“Kami amat bersyukur dan terdorong dengan sokongan yang ditunjukkan oleh para pelanggan kami – untuk model baharu ini serta untuk semua produk dan perkhidmatan
kami,” katanya.

“Sasaran 314,000 pendaftaran dan 330,000 pengeluaran kami untuk tahun ini (2023)
menggambarkan komitmen kami untuk memastikan tempahan anda dapat dihantar dalam
masa yang terbaik tanpa menjejaskan kualiti,” katanya.

Beliau menambah bahawa Perodua Axia Serba Baharu mensasarkan jualan sebanyak 5,700 unit sebulan, menjadikan sasaran pengeluaran tahunan model itu melebihi 82,000 unit.

Perodua Axia Serba Baharu D-CVT (Dwi-Mod CVT) 1.0 liter didatangkan dalam 4 varian G,
X, SE dan AV. Dengan powertrain (enjin dan transmisi) ini, penggunaan bahan api berpotensi mencecah sehingga 27.4 km/l dengan sistem Eco Idle atau Start/Stop automatik.

Prestasi ini berdasarkan Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC), yang mengikut keadaan jalan raya tempatan dan corak pemanduan.

Berharga antara RM38,600 untuk varian peringkat kemasukan G dan RM49,500 untuk varian teratas AV. Axia Serba Baharu menawarkan pelbagai pilihan untuk rakyat Malaysia.

Perodua Axia Serba Baharu didatangkan dalam lima warna – Granite Grey, Lava Red,
Glittering Silver, Ivory White (solid) dan Coral Blue (Baharu).

“Ciri-ciri nilai tambah (jika dibandingkan dengan model Axia generasi sebelumnya) adalah
berbeza kerana model serba baharu ini diperhalusi dalam semua aspek keselesaan, ruang,
keselamatan, saiz dan estetika,” katanya lagi.

Dari segi keselamatan, Perodua Axia Serba Baharu mendapat penarafan 4-bintang daripada
Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

“Kami menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengunjungi 192 cawangan jualan kami yang
sah untuk melihat dan memandu uji sendiri Perodua Axia Serba Baharu bermula hari ini,”
tambahnya.