Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), telah melancarkan projek rintis [email protected] di 28 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) terpilih seluruh negara.

Objektif utama projek rintis ini adalah untuk melihat sejauh mana PEDi boleh memainkan peranan yang berkesan dalam membudayakan pembayaran tanpa tunai di kalangan masyarakat luar bandar melalui pameran dan aktiviti yang bakal diadakan di sana.

Sejak 31 Disember 2022 lepas dan bermula di PEDi PPR Sri Pantai dan PEDi PA Seri Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, penduduk setempat telah berpeluang menikmati pengalaman berbelanja tanpa tunai di ruang PEDi sambil mendapatkan maklumat mengenai pelbagai kaedah dan kelebihan e-pembayaran yang dikuasakan oleh PayNet, seperti kad debit (MyDebit), JomPay, DuitNow QR, dan sebagainya.

Program serupa bakal diadakan di 26 lokasi PEDi lain seluruh negara. Untuk bulan Januari ini, kempen [email protected] akan diadakan di PEDi Taman Kelisa dan PEDi FELDA Soeharto di Selangor.

SKMM akan mengkaji sambutan masyarakat setempat di kesemua 28 lokasi terlibat sebelum memperluaskan kempen ini di lebih 900 lokasi PEDi lain di seluruh negara.

Menurut kajian cerapan pembayaran digital PayNet 2022 (PayNet Digital Payments Insights Study 2022), 78% rakyat negara ini masih lagi cenderung menggunakan pembayaran tunai pada tahun 2021, 11% kurang berbanding tahun 2020.

Namun, trend penggunaan tunai kembali meningkat pada 2022, terutamanya di kawasan luar bandar. Projek rintis [email protected] ini dilihat bertepatan dengan matlamat mempertingkatkan tahap literasi pembayaran digital dalam pelan tindakan ekonomi digital negara.