Dengan kepesatan teknologi yang terus mewujudkan peluang besar dalam pelbagai industri
utama, Maxis telah bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian
Malaysia (MARDI) untuk membangunkan penyelesaian berasaskan pertanian dan agrimakanan.

Kedua-dua pihak akan memanfaatkan keupayaan masing-masing untuk meintegrasikan kejuruteraan dan ICT dalam projek-projek bagi industri pertanian yang mampan serta berdaya saing.

Untuk merasmikan kerjasama ini, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Maxis dan MARDI baru-baru ini di Menara Maxis.

Ketua Pengarah MARDI, Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, mewakilkan pihak MARDI untuk menandatangani MoU tersebut, manakala Maxis diwakili oleh Pemangku Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan, Claire Featherstone.

“Sektor pertanian terus menjadi salah satu enjin pertumbuhan terpenting bagi ekonomi negara. Kerjasama kami dengan Maxis adalah tepat pada masanya kerana kami menantikan pemodenan amalan pertanian melalui pelaksanaan pendekatan baharu yang berdasarkan teknologi moden dan pembangunan mampan.

“Ini sekaligus selaras dengan IR4.0 dan Matlamat Pembangunan Lestari 2030,” kata Dato’ Dr. Mohamad Zawawi Abdul Ghani.

“Integrasi data dan kesalinghubungan adalah kritikal bagi kemajuan industri, dan terdapat
banyak peluang untuk meningkatkan produktiviti serta hasil bagi petani tempatan melalui
peningkatan automasi.

“Potensi untuk memodenkan sektor pertanian ini besar, dan Maxis teruja untuk bekerjasama dengan MARDI untuk membangunkan serta merintis penyelesaian pintar melalui aplikasi Internet of Things (IoT) dan lebar jalur yang lebih tinggi untuk meningkatkan amalan pertanian harian,” kata Claire Featherstone.

Sebagai perintis, Maxis dan MARDI akan mengusahakan ketepatan pertanian untuk halia di
kemudahan MARDI di seluruh negara. Mereka bakal menggunakan system automatik untuk
menggunakan fertigasi dengan baja titisan, analisis data besar, serta pengawasan 24/7.

Projek rintis ini bertujuan untuk melancarkan teknologi kepada lebih 400 orang usahawan pertanian halia bagi meningkatkan kecekapan serta melengkapkan MARDI dengan data berguna mengenai cara menggunakan teknologi dalam menangani cabaran sekuriti makanan.