Isuzu Malaysia menutup tirai 2022 dengan prestasi jualan yang tertinggi setakat ini, melibatkan 9,211 unit terjual bagi model Isuzu D-Max dengan hanya kekurangan beberapa unit sahaja lagi untuk membolehkan syarikat mencatat jualan sekali ganda berbanding pada 2021.
Prestasi menakjubkan ini menjadi rekod tarbaru yang belum pernah dicapai setakat ini, dengan mengatasi rekod sebelumnya yang melibatkan 6480 trak pikap terjual pada 2016.
Prestasi membanggakan ini disumbangkan oleh minat meluas terhadap model 1.9 liter yang telah terbukti cekap dan hanya melibatkan kos penggunaan yang rendah, dan dalam masa sama tampil cukup meyakinkan dari segenap aspek rekaan, kelengkapan, prestasi dan keselamatan.
Mengisi 79 peratus daripada portfolio keseluruhan, varian 1.9 liter menjadi pilihan utama di
Malaysia, terutama di Semenanjung Malaysia di mana 55% daripada jumlah keseluruhan trak pikap terjual.
Varian flagship X-Terrain juga semakin menarik perhatian pelanggan bagi segmen trak pikap gaya hidup walaupun masih dikira baru dalam pasaran.
Sebanyak 877 unit telah diserahkan kepada pelanggan yang memilihnya di sebabkan oleh penampilan segak model berkenaan yang datang dengan ruang dalaman yang luas lagi selesa, prestasi yang meyakinkan serta aspek keselamatan yang canggih.
“Walaupun berdepan dengan kekurangan stok dari kilang, Isuzu D-Max generasi ketiga
mencapai tahap membanggakan dari segi penembusan pasaran.
Dengan rekaan menawan dan segar, generasi terkini Isuzu D-Max membawakan tahap baru dalam keselesaan pemanduan trak pikap, tanpa mengorbankan warisan dan ketahanan sedia ada Isuzu. Ia benar-benar mewakili semangat sebuah trak pikap moden,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.