Tinjauan gaji tahunan oleh Robert Walters mendapati 60% majikan di Malaysia mungkin bergelut untuk mengekalkan bakat-bakat terbaik mereka kerana 48% profesional menjangkakan peningkatan gaji akibat peningkatan kos sara hidup.

Sekali dengan kebimbangan berhubung pengekalan bakat, keadaan tersebut menyebabkan 95% majikan berasa tekanan akibat kekurangan bakat dalam bidang masing-masing, dengan majoriti daripada mereka mendapati cabaran terbesar bagi mengekalkan bakat ialah gaji tinggi dan manfaat yang dijangkakan oleh golongan profesional.

Situasi ini genting dalam industri-industri yang memerlukan kelayakan teknikal dan kejuruteraan, pengalaman dan kemahiran.

Inisiatif untuk Mengekalkan Pekerja

Untuk mengekalkan pekerja, tinjauan mendapati 73% organisasi telah melaksanakan pelbagai program pengekalan pekerja pada tahun lalu. Tiga inisiatif teratas ialah pembelajaran dan pembangunan yang ditambah baik (68%), penambahan inisiatif kesejahteraan (65%) dan polisi kerja hibrid (58%) sebagai respons terhadap keperluan pekerja yang berubah.

Ai Rene Tan, Ketua Robert Walters Malaysia berkata, “Bagi mengekalkan bakat-bakat terbaik, majikan perlu mengikut sentimen pekerja kerana 60% responden mahu menukar kerja pada tahun ini.

Syarikat tidak wajar mengabaikan kepentingan kesihatan mental dan fizikal, serta memastikan komunikasi terbuka dan proaktif sepanjang tahun.”

Pada masa yang sama, situasi pandemik yang memacu transformasi teknologi merentasi pelbagai industri, juga memburukkan lagi keadaan kekurangan bakat berkemahiran. Ini lebih terbukti dalam sektor teknologi dan transformasi selain kejuruteraan, pembuatan dan sumber manusia, yang mana permintaan bakat adalah pada tahap tertinggi.

Bagi menyelaraskan kemahiran yang tidak sepadan akibat daripada pandemik, 88% organisasi sedang melaksanakan kemahiran semula untuk pekerja bagi menghadapi cabaran-cabaran baharu di tempat kerja.

Lebih separuh organisasi (54%) telah menjayakan program kemahiran semula untuk membantu jurang kemahiran dan memperkasakan daya saing pekerja dalam industri.

Syarikat Terus Utamakan Automasi pada 2023

“Dari perspektif makro, pada 2023, syarikat dan organisasi akan terus melaksanakan automasi dan memodenkan perniagaan dengan mengadaptasi teknologi baharu. Automasi akan memacu pertumbuhan dan permintaan pekerjaan di pusat-pusat perkhidmatan bersama merentasi fungsi-fungsi seperti HR, kewangan, dan IT akan terus meningkat,”
tambah Ai Rene.

Sektor kejuruteraan dan pembuatan akan menyaksikan aktiviti penggajian pekerja positif dengan penyambungan semula operasi pembuatan yang mendorong keperluan untuk bakat-bakat terbaik meretanasi semua tugas bagi tujuan kesediaan kilang. Ini dapat dilihat di utara tanah air, di mana syarikat pembuatan semakin bertambah pada 2022.

Peningkatan Gaji dan Set Kemahiran yang DIkehendaki pada 2023

“Berdasarkan dapatan keseluruhan Tinjauan gaji Robert Walters 2023, golongan yang bertukar kerja akan mendapat peningkatan gaji 15% ke 20%. Bakat dengan set kemahiran niche mungkin mendapat kenaikan sehingga 30%.

Dengan trend inflasi dijangka berterusan pada 2023, golongan profesional diramal mempunyai jangkaan gaji yang lebih tinggi,” tambah Ai Rene.

Lapan industri utama yang disertakan dalam Tinjauan Gaji Robert Walters ke-24 di Malaysia membabitkan perakaunan dan kewangan, perbankan dan perkhidmatan kewangan, kejuruteraan dan pembuatan, sumber manusia, perundangan dan setiausaha korporat, jualan dan pemasaran, rantaian bekalan, perolehan dan logistik, serta teknologi
dan transformasi.

Meliputi 31 negara, tinjauan gaji global oleh Robert Walters, perunding pengambilan profesional terkemuka dunia, ialah panduan komprehensif kepada majikan dan pekerja untuk mengakses trend dan analisis terkini dalam industri tertentu, alat dan sumber yang berguna, serta video yang dikemas kini tentang keadaan pasaran daripada panel pakar-pakar industri.