Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) memperkenalkan model edisi terhad iaitu Modenas Ninja 250 Öhlins.

Model ini didatangkan dengan sistem suspensi Öhlins baharu dan tidak menerima sebarang perubahan lain dari aspek mekanikal mahupun kosmetik. Padanan baharu ini hanya diperkenalkan buat varian Ninja 250 tanpa ABS dan terhad kepada 180 unit sahaja.

Penghantaran akan dibuat secara berperingkat dan akan tersedia untuk jualan di semua rangkaian pengedar sah Kawasaki seperti yang disenaraikan di laman sesawang rasmi syarikat.

“Model ini dipasang siap dengan suspensi belakang Öhlins jenis KA 744, STX 36 Supersport boleh laras yang turut menerima jaminan waranti penuh dari pengilang. Dengan padanan baharu ini, motosikal akan lebih stabil terutamanya ketika memasuki selekoh.

Walaupun penunggang memulas pendikit minyak atau brek mengejut semasa selekoh di kawasan yang tidak rata, motosikal itu tetap stabil. Lebih-lebih lagi, ia akan menjadi satu kelainan dalam segmennya.” kata Roslan Roskan Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS.

Öhlins merupakan salah satu jenama terkemuka dalam menghasilkan teknologi suspensi untuk sukan permotoran, dan ia turut memperkenalkan sistem yang sama bagi kegunaan motosikal kelas pertengahan yang dapat mengekalkan kuasa serta lebih kawalan semasa tunggangan.

Ninja 250 kini dipadankan dengan penyerap hentakan berketepatan tinggi dan rendah geseran yang akan memberikan keselesaan serta pengalaman menunggang yang hebat.

Nama ModelModenas Ninja 250 Öhlins Edition
WarnaMetallic Carbon Gray
Harga Jualan DisyorkanRM 20,500.00

*Tidak termasuk insuran dan cukai jalan