BMW Malaysia meraikan kejayaan enam pemilik BMW tempatan yang masing-masing berjaya mengukir nama di Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi M4NTAP Track Day,
sebuah acara komuniti BMW M anjuran kelab kereta tempatan, M4NTAP.

Lebih 50 buah jentera BMW berkuasa tinggi, sebahagian besarnya terdiri daripada model-model BMW M, telah mengambil bahagian di  acara komuniti tersebut – di mana lebih kurang 700 warga umum juga telah berhimpun untuk menyaksikan temasya ini.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Sering kali kami diujakan dengan kebolehan komuniti warga pemilik dan peminat BMW di sini – atas nama cinta mereka terhadap jenama ini, khususnya buat BMW M.

Kami benar-benar hargai dan sokong komuniti ini, dan akan terus berkhidmat buat mereka dengan penuh rasa teruja, yakni menerusi setiap jentera atau program baharu yang kami rungkaikan.

Penganugerahan MBOR bukanlah satu perkara yang mudah, dan keupayaan keenam-enam individu ini untuk menggarap anugerah tersebut mencerminkan citra Aksara Terunggul di Dunia!”

Enam sijil MBOR yang dianugerahkan di M4NTAP Track Day merupakan 1M/M2 Terpantas yang jatuh kepada F87 BMW M2 kepunyaan Jay Choong yang merekod masa 2:22.154s.

M3 Berpacuan Natural Terpantas dianugerahkan kepada E92 BMW M3 kepunyaan Adi Fansuri yang merekod masa 2:26:743s. M3/M4 Berpengecas Turbo Terpantas dianugerahkan kepada F82 BMW M4 kepunyaan Hisham Jaafar yang merekod masa 2:20.549s – yang juga merupakan BMW terpantas untuk memutar Litar Sepang.

M5/M6 Berpacuan Natural Terpantas dimenangi oleh E60 BMW M5 kepunyaan Aaron Kow yang merekod masa 2:33.007s, M5/M6/M8 Terpantas jatuh kepada F90 BMW M5 kepunyaan Mohamad Heikel yang merekod masa 2:37.674s.

Jentera BMW Bukan Jenis M Terpantas dianugerahkan kepada F30 BMW 330i kepunyaan Adil Adnan yang merekod masa 2:31.674s.