Al-Ikhsan Sports telah dianugerahkan ‘World’s Best Emerging Best Brands – Retailer (Sports)’ di ‘World Consulting and Research Corporation FEST (WCRCFEST) 2022 Mega Awards’ yang diadakan di London, United Kingdom.

‘World Consulting and Research Corporation (WCRC)’ ialah firma perundingan, penyelidikan dan penyenaraian jenama terkemuka di India, ia juga menganugerahkan pemimpin yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan di negara India.

Pengiktirafannya diberikan kepada pemimpin daripada pelbagai bidang merangkumi hiburan, sukan, teknologi, perniagaan, kerja sosial, seni dan kesusasteraan.

“Anugerah global ini merupakan satu pengiktirafan yang sangat penting untuk Al-Ikhsan Sports.

“Walaupun dua tahun kebelakangan ini amat mencabar untuk perniagaan global, saya amat berbesar hati untuk menyatakan bahawa pasukan kami telah berjaya mengatasi tahun-tahun sukar ini melalui pembinaan senario yang diselaraskan dan terancang dengan baik serta memupuk ekosistem jenama, pembekal, tuan tanah dan pelanggan.

“Dengan jumlah semasa kami sebanyak 165 buah kedai di seluruh semenanjung Malaysia dan rancangan pembukaan 100 kedai lagi dalam tempoh tiga tahun akan datang, Al-Ikhsan Sports akan terus kekal dan relevan sebagai jenama paling dipercayai untuk pencinta sukan Malaysia”, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vach Pillutla.

Ini juga memberi peluang kepada Al-Ikhsan Sports untuk menembusi pasaran di peringkat antarabangsa dan akan mewujudkan sinergi monumental untuk jenama itu dan meningkatkan laluan kejayaannya dalam masa terdekat.

Al-Ikhsan juga ingin membina komuniti dan kesetiaan dalam jenama kami dengan memastikan Malaysia cergas dan aktif dengan menjadikan sukan mampu milik untuk semua.

Pada majlis yang sama, Vach Pillutla, dianugerahkan sebagai ‘WCRC Leaders Asia, Leaders of the Year – World’s Best Emerging Leaders, Retailer (Sports)’.

Kriteria penganugerahan ini dipilih berdasarkan pemimpin yang telah melaksanakan pelan perniagaan yang kukuh bagi membangunkan serta meningkatkan jenama syarikat ke tahap yang lebih tinggi dan meneruskan momentum pasca pandemik dalam industri ini.